PETRA JAYA: Bas Rapid KL berbeza daripada bas hidrogen atau bas biasa kerana ia disediakan khas untuk pengangkutan atlet Para SUKMA XXI Sarawak 2024, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu berkata, Rapid KL menyediakan 25 bas khas untuk pengangkutan seramai 250 atlet dengan menyediakan perkhidmatan mesra Orang Kurang Upaya (OKU).
Katanya, bas hidrogen di Sarawak diwujudkan dengan tujuan utama untuk pelancongan dan pengangkutan awam.
“Jadi, bas Rapid KL ini juga direka dengan ruang kosong di bahagian depan dan belakang pemandu.
“Bas ini dilengkapi dengan tanjakan, sesuatu yang banyak bas lain tidak ada. Tanjakan ini membolehkan kerusi roda, sama ada manual atau bermotor, untuk naik ke dalam bas dengan mudah.
“Bas ini mesra OKU, dengan tanjakan yang boleh dinaikkan dan diturunkan serta ruang di bahagian belakang ada tempat duduk untuk pembantu-pembantu yang menemani pengguna kerusi roda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Dataran Perayaan di sini, hari ini.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong dalam satu hantaran di Facebook mempersoalkan bas hidrogen Sarawak tidak digunakan untuk temasya tersebut yang berlangsung pada 22 hingga 28 Oktober ini.
Mengulas lanjut, Fatimah meluahkan rasa kecewa kerana isu tersebut sepatutnya tidak timbul, sebaliknya perlu fokus untuk memastikan kelancaran acara sukan tersebut.
“Sepatutnya perkara ini tidak perlu dijadikan isu. Beliau (Violet) seharusnya memberi sokongan kepada atlet agar mereka dapat buat yang terbaik pada temasya ini,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
Oleh Mohd Neenatul Aizal dan Shahrul Qaizat