LAWAS: Sebuah pusat latihan khas untuk orang kelainan upaya (OKU) yang lebih teratur perlu diwujudkan di Lawas.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pada masa ini, Lawas hanya mempunyai Pusat Pemulihan Dalam Komunti (PPDK) dan pusat sehenti yang diwujudkan hasil kerjasama dengan pihak swasta seperti Petronas.
“Buat masa sekarang kita tumpukan kepada PPDK, namun kita merancang mewujudkan pusat latihan lebih teratur.
“Ini perlu diberi perhatian kerana anak OKU dan istimewa mempunyai bakat serta kebolehan. Mereka tidak harus dipinggirkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Wanita Dinamik di Lawas hari ini.
Mengenai Program Wanita Dinamik, Awang Tengah memuji usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kerana memperkenalkan pendekatan berbeza bagi membantu wanita.
“Biasanya bantuan atau program diberikan kepada syarikat atau individu berdaftar tetapi melalui program ini, ia menumpukan kepada ketua isi rumah dan tidak memerlukan pendaftaran,” katanya.
Menurutnya, peniaga kecil turut memainkan peranan penting dalam membantu merancakkan ekonomi.
Beliau bangga kerana KPWKM telah memulakan program Kembara Wanita Dinamik untuk mendekati dan melihat sendiri keperluan wanita yang ada di beberapa bahagian di Sarawak.
Program ini merupakan yang pertama di negara ini dan diharap dapat menjadi motivasi bagi membantu wanita untuk lebih giat terlibat dalam aktiviti ekonomi dari rumah, berniaga secara kecilan dan menghasilkan produk kraftangan sesuai dengan kemahiran yang ada.
Malah katanya, kerajaan Sarawak akan terus menyokong usaha KPWKM dalam memperkasakan wanita Sarawak.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri; Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong dan Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff.
Oleh ADENG EDRUS