KANOWIT: Ibu bapa dan generasi muda disaran untuk meneroka industri ekonomi hijau.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, tahun lalu, PETRONAS mengumumkan antara sekarang dan 2030, sekurang-kurangnya 200,000 pekerjaan akan diwujudkan dalam bidang baharu tenaga hijau.
“Kebanyakannya akan berlaku di Sarawak, kerana kita adalah yang paling progresif dari segi tenaga hijau di Malaysia.
“Ini adalah masa untuk pembinaan negara. Jika anda berada di luar negara, inilah masanya untuk kembali dan menyumbang kepada Sarawak.
“Malah, kerajaan GPS melabur dalam pendidikan percuma untuk memastikan anak-anak Sarawak berpengetahuan dalam bidang ini,” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan Pesta Kanowit 2024 dan Tebingan Kanowit, hari ini.
Menyentuh tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, walaupun hasil Sarawak mencecah hampir RM17 bilion tahun ini, ia tidak bermakna Sarawak kaya.
Katanya, Sarawak mempunyai saiz yang sama dengan Semenanjung Malaysia dan memerlukan lebih banyak dana untuk membina infrastruktur.
“Ramai yang gagal menyedari bahawa MA63 mesti dilaksanakan dan dirundingkan.
“Disebabkan Ordinan Darurat pada 1969, peruntukan dihentikan. Hanya tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM300 juta kepada kita (Sarawak), manakala tahun ini, kita menerima RM600 juta.
“Sekiranya pembiayaan ini diberikan sejak 1969, kita tidak akan menghadapi isu seperti 70 peratus klinik usang di Sarawak.
“Sebelum itu (Ordinan Darurat), kita hanya menerima kira-kira RM16 juta. Sebab itu kami sentiasa menekankan MA63, dan kami berharap rakyat Malaysia memahami sejarah dan kedudukan Sarawak,” tegasnya.
Dalam sidang media yang sama, Dr Sim menyeru penduduk di Kanowit khasnya supaya terus bersatu-padu dan menyokong wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kali terakhir saya ke sini lima tahun lalu, iaitu sebelum Covid-19. Hari ini, apabila saya datang ke sini, saya terkejut melihat Kanowit telah berkembang maju.
“Semua ini adalah kerana wakil rakyat (GPS) di sini. Jadi, jangan ubah wakil rakyat di sini, kerana dengan wakil GPS, ada perubahan pembangunan,” katanya.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Kanowit Dato Sri Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana, ADUN Machan Allan Siden Gramong serta yang lain.
Oleh Akun Giman