KANOWIT: Tebingan Kanowit (Kanowit Waterfront) merupakan yang pertama di wilayah ini menggunakan reka bentuk dua tingkat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, tebingan ini bukan sahaja menjadi mercu tanda untuk Kanowit, malah memberikan banyak manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Tebingan ini memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk berkumpul dan beriadah bersama keluarga, selain untuk penganjuran pelbagai aktiviti lain, jadi, inilah yang kita panggil perpaduan.
“Atas sebab itu Premier Sarawak membangunkan banyak kawasan dermaga di seluruh negeri.
“Ini mencerminkan keterangkuman Premier, maknanya tak kira di kawasan bandar atau luar bandar. Rakyat mempunyai kemudahan yang sama, walaupun reka bentuknya berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Pesta Kanowit 2024 dan Tebingan Kanowit, hari ini.
Dr Sim berterima kasih kepada wakil rakyat tempatan, termasuk Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Dato Sri Aaron Ago Dagang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong dan ADUN Ngemah, Anyi Jana atas sokongan mereka dalam projek pembinaan tebingan Kanowit.
Beliau juga mengiktiraf Majlis Daerah Kanowit (MDK) kerana memainkan peranan penting dalam memastikan projek pembinaan tebingan Kanowit disiapkan mengikut jadual, walaupun menghadapi cabaran pandemik COVID-19.
“Tebingan Kanowit ini adalah unik dan menjadi satu-satunya dengan reka bentuk dua tingkat. Ini adalah kali pertama saya melawat tingkat atas dan ia menawarkan pengalaman yang berbeza dari tingkat bawah,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya,
Dr Sim berkata, acara utama Pesta Kanowit ialah pertandingan perlumbaan bot laju.
Beliau berkata, pihaknya akan membantu untuk mencadangkan pembinaan kren berhampiran kawasan tebingan bagi membantu mengangkat bot laju ke dalam sungai.
“Ya, mungkin kita boleh memasukkannya di bawah Projek Rakyat kerana ia akan dilaksanakan lebih cepat, berbanding projek lain,” katanya yang juga Menteri Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Sementara itu, Aaron Ago dalam ucapan aluannya memberitahu, tebingan Kanowit dibina dengan kos RM5.3 juta.
“Jika kami membinanya hari ini, kosnya boleh menjadi dua kali ganda. Kami berterima kasih kepada kontraktor kerana menyiapkan projek itu tepat pada masanya,” katanya.
Projek pembinaan tebingan Kanowit telah siap pada April 2023.
Oleh AKUN GIMAN