BINTULU: Tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menangani isu Abang Bas adalah berlandaskan Akta Kanak-kanak 2001.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, KPWKM tidak boleh berdiam diri terhadap isu tersebut yang melibatkan keselamatan kanak-kanak.
“Isu ini telah menjadi perhatian umum dan sebagai penjaga kepada kanak-kanak di bawah undang-undang, kami tidak dapat mengabaikannya.
“Tanggungjawab kami adalah untuk bertindak, dan kami telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis,” katanya.
Nancy menjelaskan, meskipun terdapat kritikan terhadapnya kerana memberi perhatian berbeza kepada isu Abang Bas dan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings keselamatan kanak-kanak adalah amanah yang perlu dipenuhi.
“Dalam hal GISB, kami bukanlah agensi utama yang menjalankan siasatan, sebaliknya kuasa untuk menangkap dan menyiasat adalah di bawah pihak polis.
“Kami berperanan sebagai pelindung di bawah Akta Kanak-Kanak,” tambahnya.
Beliau juga mengingatkan, pihak polis perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan tanpa gangguan dari luar, kerana sebarang campur tangan boleh mengganggu proses siasatan.
“Kami tidak mempunyai banyak maklumat untuk dikongsi kerana ia adalah tanggungjawab polis.
“Proses dan perancangan pihak polis adalah tugas mereka,” jelasnya.
Nancy menyeru orang ramai untuk memahami tanggungjawab pihaknya dalam melindungi kanak-kanak, menekankan bahawa setiap langkah yang diambil adalah demi keselamatan kanak-kanak yang memerlukan bantuan.
“Fahamilah bahawa kami mempunyai amanah dan tanggungjawab masing-masing.
“Tanggungjawab kami adalah melindungi dan mengurus kanak-kanak,” tegasnya.
5 September lalu, seorang pengguna media sosial X berkongsi tangkap layar hantaran TikTok seorang pemandu bas sekolah yang merujuk seorang murid perempuan sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.
Susulan itu, Nancy mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak (JPKK) untuk membuat laporan polis terhadap pemandu bas tersebut.
Pada 6 September, polis menahan pemandu bas berkenaan dan individu terbabit direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Oleh Carolyne Utih