PETRA JAYA: Kontinjen Sarawak masih mengekalkan sasaran 83 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang bermula Ahad ini, 22 hingga 28 September.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sasaran tersebut masih dikekalkan setelah semua atlet para melakukan persiapan terakhir bagi acara masing-masing.
”Sasaran awal telah kita buat sebelum ini iaitu untuk memperoleh 83 pingat emas.
”Kemudian selepas latihan intensif dijalankan bermula dengan latihan di tempat sendiri, pendedahan luar negara dan sekarang latihan di venue pertandingan, kita tanya lagi berapa sasaran pingat emas dan ia kekal pada 83 pingat emas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena perasmian Pusat Media Utama Para SUKMA Sarawak ke-21 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah yang juga Pengerusi Bersama SUKMA XXI Sarawak 2024 berkata Karnival Usahawan sempena Para SUKMA akan dimeriahkan dengan penyertaan usahawan dari kategori orang kelainan upaya (OKU).
”Karnival Para SUKMA akan menampilkan kelainan, kita akan melibatkan penyertaan daripada OKU dari badan bukan kerajaan (NGO) tertentu untuk membuat pameran produk yang dihasilkan.
”Kita amat berterima kasih kepada jawatankuasa induk kerana menyediakan peluang ini kepada mereka untuk menunjukkan bakat dari pelbagai bidang seperti sukan, nyanyian, kraf tangan dan sebagainya.
”Ini juga menjadi salah satu medium untuk membantu mereka mempamerkan kebolehan sambil menjana pendapatan sampingan,” katanya.
Sebelum ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan kadar insentif bagi pemenang pingat emas, perak dan gangsa bagi Para SUKMA ke-21 adalah sama seperti SUKMA ke-21.
Pemenang pingat emas akan menerima RM15,000, pingat perak RM5,000 manakala pemenang pingat gangsa (RM3,000).
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Oleh RYNNA SHA’ERRA