JAKARTA: Gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter yang melanda Kabupaten Bandung, Jawa Barat mengakibatkan kerosakan kepada beberapa kediaman dan kemudahan awam termasuk pusat kesihatan, tempat ibadat dan balai polis.
Gegaran pada 9.41 pagi waktu tempatan Rabu berlangsung antara tiga hingga lima saat dirasai di beberapa kawasan, termasuk Bandar Bandung.
Namun, tiada laporan mengenai korban jiwa setakat ini, menurut jurucakap Badan Mitigasi Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Abdul Muhari dalam satu kenyataan.
Laporan awal dari Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Barat memaklumkan bahawa beberapa rumah di Pangalengan dan Kertasari mengalami kerosakan termasuk bahagian dinding dan siling runtuh.
“Pasukan Tindak Balas Pantas BPBD dan agensi-agensi lain dikerah ke kawasan terjejas untuk melakukan penilaian dan pemantauan segera dengan memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan penduduk yang terjejas,” kata Abdul Muhari.
Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan kereta api laju Whoosh yang menghubungkan Jakarta dan Bandung digantung sehingga 2 petang waktu tempatan.
PT KCIC, pengendali perkhidmatan itu memohon maaf atas pembatalan beberapa perjalanan akibat gempa bumi itu.
“Pemeriksaan akan mengambil masa kira-kira empat jam untuk memastikan tiada faktor luaran yang mengganggu laluan kereta api laju seperti kejadian tanah runtuh atau kesan alam semula jadi lain,” kata pengurus besar setiausaha korporat, Eva Chairunisa.
Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia melaporkan bahawa pusat gempa terletak pada kedudukan 7.23° S; 107.65° E, kira-kira 25 kilometer tenggara Kabupaten Bandung pada kedalaman 10 kilometer.
— BERNAMA