PERANCIS: Kajian diterbitkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Zurich mendapati lebih daripada 3,600 bahan kimia yang digunakan dalam pembungkusan atau penyediaan makanan dikesan dalam tubuh manusia.
Kajian yang diterbitkan dalam ‘Journal of Exposure Science and Environmental Epidemiology’ itu juga mendapati sebahagian daripada bahan kimia terbabit adalah berbahaya kepada kesihatan, manakala yang lain masih kurang diketahui statusnya.
Penulis Utama Kajian dari Food Packing Forum Foundation, Birgit Geueke, berkata kira-kira 100 daripada bahan kimia terbabit dianggap sebagai ‘kebimbangan yang tinggi’ terhadap kesihatan manusia.
Beberapa bahan kimia berkenaan telah dikaji dengan teliti dan sudah ditemui dalam tubuh manusia, seperti PFAS dan bisphenol A iaitu dua bahan kimia yang dilarang dalam bahan makanan.
Dalam pada itu, Geueke turut menggesa lebih banyak kajian dilakukan mengenai bagaimana bahan kimia yang digunakan dalam pembungkusan makanan akhirnya ditelan bersama makanan.
Pasukan penyelidik sebelum ini mengkategorikan sekitar 14,000 bahan kimia bersentuhan dengan makanan (FCC) yang mampu berpindah ke dalam makanan daripada pembungkusan diperbuat daripada plastik, kertas, kaca, logam atau bahan lain.
Bahan kimia itu juga boleh datang daripada bahagian lain dalam proses pembuatan makanan seperti daripada tali sawat penghantar makanan atau peralatan dapur.
Pasukan penyelidik juga mencari bahan-bahan kimia berkenaan dalam pangkalan data pemantauan biologi sedia ada bagi mengesan bahan kimia yang terdapat dalam sampel manusia.
Kata Geueke mendakwa pasukan penyelidik menjangkakan hanya akan menemui beberapa ratus FCC tetapi sebaliknya amat terkejut kerana menemui 3,601 – 25 peratus daripada semua jenis FCC yang diketahui sekarang.
Malah, beliau memberi amaran bahawa bahan kimia itu boleh berinteraksi antara satu sama lain, merujuk kepada satu sampel yang mempunyai sehingga 30 PFAS berbeza.
Justeru, Geueke mengesyorkan orang ramai supaya mengurangkan masa sentuhan mereka dengan pembungkusan – dan elak memanaskan makanan bersama bungkusan.
Beliau menegaskan, bahawa kajian itu tidak dapat menunjukkan bahawa semua bahan kimia berkenaan akan berakhir dalam tubuh manusia daripada pembungkusan makanan kerana mungkin wujud sumber pendedahan lain.
Antara bahan kimia berstatus sangat berbahaya itu adalah bahan per-and polyfluoroalkyl (PFAS) juga dikenali sebagai bahan kimia kekal, dikesan di banyak bahagian tubuh manusia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan.
Turut dikesan ialah bisphenol A, bahan kimia yang mengganggu hormon, digunakan untuk membuat plastik, yang turut dilarang daripada pembuatan botol susu bayi di banyak negara.
Satu lagi bahan kimia yang mengganggu hormon ialah phthalates yang dikaitkan dengan masalah ketidaksuburan manusia.
Sehubungan itu, Kesatuan Eropah (EU) kini berada pada peringkat akhir proses mengharamkan penggunaan PFAS dalam pembungkusan makanan selain mencadangkan larangan sama untuk bisphenol A mulai akhir tahun ini. – AFP