MANCHESTER: Manchester City sudah bersedia untuk pertemuan semula Liga Juara-Juara dengan Inter Milan yang disifatkan sebagai satu pertemuan ‘sangat sengit’ bagi juara edisi 2023 itu.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu menewaskan Inter 1-0 pada aksi final dua musim lalu di Istanbul untuk meraih gelaran sulung mereka di kancah Liga Juara-Juara.
Inter dijadual berkunjung ke Stadium Etihad pada awal pagi Khamis ini dengan City bakal merasai pengalaman sulung mereka dalam format baharu kejohanan.
Pertahanan City, Manuel Akanji tidak menyukai model baharu ini kerana menambah bebanan buat pemain dalam musim penuh padat termasuk menyertai Piala Kelab Dunia di Amerika Syarikat.
“Ia akan lebih menyulitkan dengan liga. Kamu menentang pasukan berbeza-beza dan kemudian Inter tidak mempunyai lawan sama seperti kami. Ia semakin besar, lebih banyak perlawanan,” kata Akanji.
“Kemudian kami menyertai Piala Kelab Dunia pada penghujung musim nanti. Ia hanya perlawanan ke satu perlawanan lain dan saya tidak tahu apa yang bakal terjadi dalam beberapa tahun lagi.
“Ia sangat sukar, kamu tidak memikirkan mengenai musim ini sahaja tetapi juga musim seterusnya. Bila kami akan berehat?. Tidak ada rehat pada musim sejuk.
“Sekiranya kami bertuah, kami mempunyai dua minggu dan kemudian kami perlu kembali dan memasuki musim seterusnya. Tidak ada penghujungnya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Mungkin saya akan bersara pada usia 30!.”
Di sebalik keluhannya, Akanji, 29, berpeluang untuk kembali membuat perhitungan dengan Inter selepas meraih gelaran trebel 15 bulan yang lalu.
Ia adalah satu kejayaan besar buat City selepas berdepan kekecewaan di Liga Juara-Juara ketika era Guardiola, termasuk tewas di tangan Chelsea pada final 2021.
“Saya amat menantikannya, walaupun dengan format baharu,” kata Akanji.
“Saya fikir yang lama lebih baik tetapi kami tetap akan menentang pasukan terbaik dan bermula dengan perlawanan hebat bertemu Inter.
“Kali terakhir kami bertemu mereka adalah di final, jadi ia adalah satu memori yang bagus buat kami.” – AFP