KUCHING: Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 menyediakan platform kepada komuniti yang menetap di sekitar kawasan hutan simpan kekal untuk menjana pendapatan serta mempromosi produk yang dihasilkan.
Timbalan Menteri Perancang Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata program pembangunan komuniti anjuran Jabatan Hutan Sarawak itu melibatkan 100 peserta komuniti pengusaha hasil hutan bukan kayu (NTFP) dari seluruh Sarawak.
“Menerusi penganjuran karnival dan ekspo NTFP ini meningkatkan lagi hasil jualan pihak komuniti sekali gus membantu mempromosikan NTFP dengan kerjasama agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
“Platform ini seterusnya akan membuka lebih banyak peluang pemasaran produk NTFP hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 Jabatan Hutan Sarawak di sini, hari ini.
Menjelas lanjut berkenaan karnival itu, katanya karnival itu pada tahun ini bukan sahaja tertumpu kepada NTFP malah merangkumi aktiviti dan industri berasaskan perhutanan seperti restorasi, aktiviti ekopelancongan, inap desa (homestay) dan sebagainya.
Dalam pada itu, Len berkata beliau berharap untuk melihat lebih banyak penglibatan dari pemegang taruh dalam penganjuran karnival sedemikian bagi mendukung usaha pihak Jabatan Hutan Sarawak membangun pengurusan sumber hutan secara mapan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa.
“Selain itu, inisiatif seperti ini juga dapat membantu dalam meningkatkan lagi hasil jualan pihak komuniti sekali gus membantu mempromosikan produk perhutanan.
“Bagi pihak kerajaan Sarawak, kita amat menggalakkan pihak jabatan untuk mempromosikan produk berasaskan perhutanan melibatkan komuniti melalui pelbagai medium terutamanya secara digital kerana kebolehcapaian yang luas dalam pemasaran produk.
“Penglibatan daripada pihak bukan Kerajaan (NGO) juga amat dialu-alukan kerana ia memainkan peranan dalam membantu komuniti mempromosikan hasil produk perhutanan hingga peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Untuk rekod, sejak penganjuran pertama pada 2006 hingga kini, hasil jualan terkumpul bagi produk NTFP melebihi RM900,000.
Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 anjuran Jabatan Hutan Sarawak berlangsung dari 14 hingga 22 September ini di Plaza Merdeka Kuching.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Hutan (Pengurusan Hutan) Semilan Ripot dan Penolong Pengarah Hutan yang juga Ketua Bahagian Perhutanan Sosial Suliman Jamahari.
Oleh Rynna Sha’erra