KUCHING: “Pingat emas ini saya dedikasikan buat keluarga tercinta kerana telah bersusah payah membesarkan saya dan berkorban masa dan tenaga menggilap bakat saya dalam sukan angkat berat.”
Itu luahan badang Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin, 25, ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini.
“Pingat emas ini saya hadiahkan buat keluarga, mereka banyak berkorban untuk saya.
“Sejak umur 13 tahun, saya selalu ulang – alik dari Serian ke Kuching untuk menjalani latihan angkat berat,” katanya.
Dalam pada itu, Bonnie turut berharap akan ada atlet lain yang menyerlah di pentas antarabangsa.
“Saya harap tahun akan datang, akan ada atlet lain yang menyerlah di pentas antarabangsa, selain saya, saya harap ada kemunculan atlet baharu,” katanya.
Walaupun serba kekurangan, anak kedua kepada Gustin Jenang dan Evylen Gelagar itu tidak menyangka bahawa dirinya kini telah bersinar seantero dunia.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah menyambut ketibaan jaguh angkat berat negara itu di KIA hari ini.
Anak kelahiran Kampung Baru Mawang- Serian ini mencipta rekod dunia baharu dengan mengangkat 232kg dalam acara akhir 72kg lelaki di Paralimpik Paris baru-baru ini, sekali gus memperoleh pingat emas kedua Malaysia.
Sementara itu, Fatimah menzahirkan rasa syukur dan gembiranya atas kejayaan Bonnie.
“Dia (Bonnie) telah harumkan nama bukan sahaja nama Malaysia malah nama Sarawak, dia telah berjaya menempah nama Malaysia dan Sarawak di peringkat antarabangsa, ini bukan calang-calang kejayaan.
“Dan kita tahu bahawa untuk sampai peringkat ini banyak pengorbanan dan kepayahan.
“Banyak orang membantu beliau memperkembangkan bakat Bonnie. Bantuan jurulatih juga dapat melihat ‘intan’ yang perlu digilap sampai ke peringkat tinggi,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN