KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) menegaskan pihak berkaitan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan Operasi Bersepadu di Taman Negara Similajau yang dilaksanakan baru-baru ini.
SFC berkata kenyataan itu dikeluarkan berikutan terdapat satu spekulasi berbentuk memomokan fakta untuk mencari pengaruh atau sokongan orang tempatan yang menuduh pihak kerajaan bertindak tanpa perikemanusiaan dalam mengusir penduduk kampung di kawasan tersebut.
”Pada 11 September yang lalu, satu operasi yang dijalankan di kawasan Taman Negara Similajau diketuai SFC dan diselaraskan oleh Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dengan kerjasama pelbagai agensi.
”Antara agensi penguatkuasa yang terlibat termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Peguam Besar Sarawak (SAGC), Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Pejabat Daerah Bintulu dilaksanakan berikutan isu pencerobohan Taman Negara Similajau Ext. 1 yang berlarutan sejak 2004.
“Sepanjang tempoh 20 tahun tersebut, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Hutan Sarawak dan SFC sendiri dalam menangani dan membanteras aktiviti pencerobohan,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, usaha yang dilakukan selama 20 tahun bagi menangani isu itu masih menemui kegagalan untuk menyekat dan menghalang pihak pelaku yang terus melakukan aktiviti pencerobohan.
Pencerobohan yang berlaku di kawasan tersebut melibatkan aktiviti pembalakan haram, penerokaan untuk tujuan pertanian, mendirikan struktur haram.
Selain itu, menetap di dalam kawasan Taman Negara Similajau oleh warga asing yang menjadi pekerja kebun sawit yang diusahakan oleh peneroka haram di atas tanah Taman Negara Similajau.
Kata SFC lagi, tindakan pengusiran berkenaan juga berpandukan bidang kuasa sedia ada menerusi Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi 1998.
”Justeru, operasi tersebut dilakukan setelah mendapat waran pengusiran (warrant of eviction) dari mahkamah untuk mengusir penceroboh yang menduduki taman negara tersebut secara haram dalam lokasi tersebut.
“Tindakan memasuki Taman Negara tanpa kebenaran Controller Taman Negara dan Rizab Semula Jadi adalah satu kesalahan dalam ordinan tersebut,” tegasnya.
Sehubungan itu, SFC mengingatkan orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai operasi bersepadu yang dijalankan bersama oleh beberapa agensi penguatkuasaan di kawasan Taman Negara Similajau.
Menurut SFC, Taman Negara Similajau berkeluasan 7,064 hektar telah diwartakan pada 1976 manakala Taman Negara Similajau Ext. 1 diwartakan pada 17 Februari 2000, yang mana ia pada asalnya terletak dalam kawasan Similajau Forest Reserve yang telah diwartakan pada 1 Disember 1959.
Persempadanan Taman Negara Similajau telah dilaksanakan dan diperakui oleh Jabatan Tanah dan Survei pada 2018.