PETRA JAYA: Sebanyak sembilan resolusi telah dipersetujui semalam dalam Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024 yang diadakan di Kuching.
Antaranya ialah menggesa agar kuasa autonomi kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dijamin melalui penggubalan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen atau Rang Undang-Undang Perkhidmatan Dewan Undangan Negeri untuk memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif.
Kedua, mencadangkan supaya pemisahan bidang tugas Setiausaha Dewan Undangan Negeri di negeri berkaitan agar hanya tertumpu kepada Dewan Undangan Negeri dan tidak lagi terlibat sebagai Setiausaha dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pengiktirafan yang sewajarnya selaras dengan Perlembagaan negeri.
Ketiga, menggalakkan pertukaran maklumat dan kerjasama yang berterusan sesama Dewan Undangan Negeri dan dengan Parlimen Malaysia dalam pelbagai perkara termasuk usaha meningkatkan penglibatan badan perundangan dalam pembangunan negara dan penglibatan awam.
Keempat, menggalakkan Dewan untuk mengambil peranan dalam meningkatkan penglibatan rakyat demi meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap fungsi dan kepentingan badan perundangan.
Kelima, menggalakkan Dewan untuk terus memperkasakan perkhidmatan badan perundangan melalui pengukuhan sekretariat jawatankuasa pilihan dan perkhidmatan penyelidikan.
Keenam, mencadangkan Yang di-Pertua Dewan diberi peruntukan bagi membolehkan Dewan memainkan peranan dalam meningkatkan penglibatan rakyat, pembangunan negara, dan merakyatkan badan perundangan.
Ketujuh, mencadangkan Yang di-Pertua Dewan diberikan kelayakan, darjah kebesaran dan kemudahan bersesuaian dengan tanggungjawab dan peranan sebagai Yang di-Pertua Dewan yang mempengerusikan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Kelapan, mencadangkan Setiausaha-Setiausaha Parlimen dan Dewan Undangan Negeri diberikan kelayakan dan kemudahan bersesuaian, selaras dengan tanggungjawab dan peranan penting dalam persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Kesembilan, bersetuju supaya Persidangan Setiausaha-Setiausaha Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia dijadikan acara tahunan sebelum penganjuran Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia.
Melalui sembilan resolusi yang telah dipersetujui ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ (Dr) Johari Abdul memohon agar kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di seluruh Malaysia untuk memberi maklum balas berhubung perkara berkenaan.
” Tiap-tiap Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri akan membawa balik resolusi ini ke Dewan masing-masing.
“Dan berjumpa dengan pemerintah-pemerintah dari tiap-tiap negeri dan mengumumkan bahawa inilah resolusi yang telah dicapai dalam persidangan ini. Jadi kita mohon kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk maklum balas.
” Kalaupun tak boleh semua, apa yang boleh dululah yang kita pentingkan. Namun begitu, inilah yang telah pun kita percayai untuk dicapai oleh semua negeri-negeri di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2024 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, sembilan perkara yang dimohon ini dipertimbangkan oleh kerajaan-kerajaan negeri bagi memperkasakan institusi Speaker itu sendiri.
“Speaker ialah milik tonggak kepada perjalanan sama ada Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Jadi, dengan adanya maklum balas terhadap resolusi ini, saya yakin akan memberikan kedudukan Speaker itu lebih kukuh dalam melaksanakan tugas-tugas Speaker,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman