PETRA JAYA: Tindakan Sarawak mengejar autonomi ke atas sumbernya sendiri, bukan bermaksud tindakan anti-Persekutuan, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak menegaskan sebaliknya Sarawak menuntut haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tidak bertujuan untuk mencabar sistem Persekutuan.
“Sebaliknya, kita memperakui dan mempertahankan hak dan keistimewaan yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.
“Penglibatan kami dalam perbincangan diplomatik dengan Kerajaan Persekutuan, dan keupayaan kami untuk menyelesaikan isu secara konstruktif, adalah bukti kepada kekuatan federalisme Malaysia dan hubungan kerjasama yang positif antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
“Tuntutan kami berakar pada MA63, yang kekal sebagai asas kesatuan kami. Perjanjian ini direka bentuk untuk memastikan kedudukan dan hak unik Sarawak dalam Malaysia dipelihara dan dihormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri SeMalaysia 2024 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini hari ini.
Abang Johari berkata, MA63 tidak direka untuk melemahkan Persekutuan tetapi untuk mengukuhkannya.
“Langkah kami baru-baru ini dalam menguruskan sumber asli kami adalah selaras sepenuhnya dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Sarawak, jauh daripada melampaui batasnya, sedang melaksanakan kuasa yang telah diberikan oleh perlembagaan.
“Pengurusan minyak dan gas kita, sebagai contoh, termasuk dalam hak yang diiktiraf di bawah Perlembagaan. Ini adalah penegasan autonomi Sarawak dalam rangka kerja Persekutuan, bukan berlepas daripadanya,” katanya.
Jelasnya, pendekatan ini hampir sama dengan peranan yang dimainkan oleh setiap Speaker Dewan Undangan Negeri masing-masing.
“Sama seperti anda memastikan bahawa prosiding perundangan dijalankan dalam parameter yang ditetapkan oleh Perlembagaan, Sarawak bertindak dalam had perlembagaan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Prinsip panduan sama yang mengawal badan perundangan yakni menghormati Perlembagaan, mematuhi rangka kerja yang dipersetujui, dan menegakkan kedaulatan undang-undang adalah prinsip yang membimbing tindakan Sarawak.
” Tambahan pula, hak Sarawak ke atas pelantar benuanya berakar umbi dalam perintis sejarah dan undang-undang, terutamanya Perintah Sarawak (Pengubahan Sempadan) 1954.
“Perintah ini mengiktiraf kedaulatan Sarawak ke atas pelantar benuanya, mengukuhkan kuasa negeri kita ke atas sumber luar pesisirnya,” katanya.
Menurut Abang Johari lagi, hak-hak ini, Sarawak tidak cuba untuk mengurangkan (kuasa) Persekutuan tetapi sebaliknya menyumbang kepada kekuatannya dengan memastikan Sarawak dapat membangunkan sumbernya secara bertanggungjawab dan mampan.
“Sarawak kekal teguh dalam menghormati peranan dan tanggungjawab kerajaan Persekutuan.
“Matlamat kami bukan untuk mengasingkan diri kami tetapi untuk bekerjasama dengan lebih berkesan dalam Persekutuan.
“Kami menyedari bahawa kekuatan negara kita terletak pada kekuatan bahagiannya,” katanya.
Beliau berkata, hasrat kerajaan Sarawak adalah untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, memastikan Malaysia secara keseluruhannya muncul sebagai kuasa yang menggerunkan di rantau ASEAN dan seterusnya.
“Di bawah pentadbiran saya, tumpuan kita bukan pada apa yang Kerajaan Persekutuan boleh lakukan untuk Sarawak, tetapi lebih kepada bagaimana kita boleh menyumbang untuk menyokong usaha Kerajaan Persekutuan.
“Sebagai contoh, kami telah memperuntukkan dana kami untuk menangani pembaikan sekolah usang, dengan pemahaman bahawa pembayaran balik akan menyusul daripada rakan sejawat Persekutuan kami. Semangat kerjasama ini memupuk hubungan yang kukuh dengan Putrajaya.
“Prinsip yang sama ini digunakan untuk klinik usang dan kuarters kakitangan kami.
“Apabila menegaskan hak negeri, kami percaya pendekatan yang paling berkesan ialah melibatkan diri dalam rundingan, berpandukan rangka kerja undang-undang dan konvensyen perlembagaan,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN