KUCHING: Pasukan Badminton Para Sukan Malaysia (Para Sukma) Sarawak mengadakan perlawanan persahabatan menentang Kelab Attapers di Dewan Serbaguna Kampung Semeba di sini, semalam.
Menurut satu kenyataan, perlawanan persahabatan itu diadakan sebagai persiapan untuk temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 yang bermula dari 23 hingga 27 September ini.
Katanya, perlawanan ini juga merupakan sebahagian daripada siri persediaan rapi bagi memastikan atlet-atlet Para SUKMA Sarawak berada dalam prestasi terbaik.
Menurut Ketua Jurulatih Pasukan Badminton Para Sukma Sarawak, Suhaili Liman, beliau optimis dengan kemampuan pasukannya untuk meraih tiga pingat emas dalam temasya kali ini.
“Kami menyasarkan tiga pingat emas dalam beberapa kategori, berdasarkan perkembangan positif serta l kesungguhan yang dipamerkan oleh para pemain sepanjang latihan dan siri perlawanan persahabatan ini.
“Perlawanan persahabatan ini memberikan peluang kepada pemain untuk mengasah kemahiran mereka dan meningkatkan keyakinan menjelang pertandingan sebenar.
“Perlawanan ini juga membantu kami mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum Para Sukma nanti,” katanya.
Dalam pada itu, pasukan badminton Para SUKMA Sarawak yang terdiri daripada pemain berbakat dari seluruh negeri, dijangka menghadapi cabaran hebat tetapi komitmen dan dedikasi mereka akan menjamin persaingan sengit di pentas nasional.
Untuk rekod, Para SUKMA kali ini akan menampilkan 328 acara daripada 10 sukan iaitu para olahraga, para renang, para badminton, para pingpong, para tenpin boling, para boling padang, para angkat berat, para memanah, para catur dan boccia.