WASHINGTON: Pasukan penyelam Amerika Syarikat (AS) menemui bangkai kapal kuasa wap Perancis, Le Lyonnais, yang karam di Lautan Atlantik pada 1856 selepas kes ‘langgar lari’ dengan sebuah kapal layar AS mengorbankan 114 nyawa.
Le Lyonnais, yang dibina pada 1855 dan dianggap canggih pada masa itu, sedang kembali ke Perancis selepas menamatkan pelayaran sulungnya dari Le Havre ke New York apabila bencana itu berlaku.
Jennifer Sellitti dari Atlantic Wreck Salvage, sebuah syarikat yang berpangkalan di New Jersey, berkata sepasukan di bot penyelam D/V Tenacious menemui serpihan Le Lyonnais bulan lalu selepas pencarian selama dua dekad.
Sellitti berkata penyelam secara positif mengenal pasti kapal itu di perairan 320 kilometer (km) dari New Bedford, Massachusetts, di kawasan yang dikenali sebagai Georges Bank, tanpa mendedahkan lokasi sebenar buat masa ini.
“Kapal itu pastinya tidak kelihatan sebaik dulu. Ia sudah benar-benar hancur. Atlantik Utara adalah tempat yang ‘kejam’ untuk mana-mana kapal karam.
“Ribut dan pasang surut air menyebabkan laut sentiasa bergelora. Tambahan pula, Beting Nantucket terkenal dengan pantai pasir yang kerap beralih, sekali gus menimbus bangkai kapal sepenuhnya,” kata Sellitti kepada AFP.
Tambah Sellitti, ukuran silinder enjin adalah kunci untuk mengenal pasti kapal itu.
Le Lyonnais, yang diselaputi besi, mempunyai kedua-dua layar dan enjin wap, dibina oleh pembuat kapal Britain Laird & Sons, untuk Compagnie Franco-Americaine bagi menyediakan perkhidmatan penumpang dan mel merentasi Atlantik.
“Tahun 1850-an adalah permulaan peralihan daripada belayar kepada menggunakan enjin kuasa wap dan ini adalah percubaan awal Perancis untuk memiliki laluan penumpang pertama yang menguntungkan,” kata Sellitti.
Le Lyonnais belayar ke New York dengan membawa kargo dan mel, serta dijadualkan kembali ke Le Havre dengan penumpang pertamanya, kebanyakannya warga Perancis.
Pada malam 2 November 1856, Le Lyonnais, yang membawa 132 penumpang dan anak kapal, bertembung dengan Adriatic, sebuah tongkang AS yang sedang belayar dari Maine ke Georgia.
Kapten Adriatic, Jonathan Durham, dalam satu kenyataan diterbitkan di The New York Times edisi 19 November 1856, berkata tragedi berlaku sekitar 11 malam.
“Malam berkenaan dicerahi cahaya bintang tetapi ‘berjerebu’ apabila Le Lyonnais secara ‘tiba-tiba mengubah haluan’, menyebabkan perlanggaran tidak dapat dielakkan,” katanya.
Durham berkata Adriatik mengalami kerosakan yang ketara tetapi berjaya sampai ke Gloucester, Massachusetts dua hari kemudian manakala Le Lyonnais meneruskan perjalanannya.
Kapal Perancis itu sebenarnya mengalami kerosakan yang besar – lubang pada garis air dan satu lagi lebih rendah, mungkin berhampiran stor arang batunya, kata Sellitti.
Ia tenggelam beberapa hari kemudian, dengan hanya segelintir mangsa berjaya diselamatkan oleh kapal lain yang kebetulan berada berdekatan.
Sellitti, dalam bukunya mengenai tragedi itu, ‘The Adriatic Affair: A Maritime Hit-and-Run Off the Coast of Nantucket’ berkata tenggelamnya Le Lyonnais adalah ‘masalah yang sangat besar pada masa itu’.
Katanya, kapten kapal warga AS itu ditangkap dan dibicarakan di Perancis, manakala perlanggaran itu menimbulkan beberapa persoalan liabiliti maritim baharu, seperti apa yang berlaku apabila kapal layar bertemu kapal kuasa wap di laut.
Bencana itu, yang turut dirujuk dalam novel Jules Verne ‘Twenty Thousand Leagues Under the Sea’, menjadi tumpuan antarabangsa, katanya, tetapi dilupakan apabila Perang Saudara AS meletus pada tahun 1861. – AFP