KUCHING: Bagaikan sudah jatuh, ditimpa tangga.
Begitulah peribahasa yang sesuai menggambarkan nasib seorang ibu yang gagal menjejaki kedua-dua anaknya yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Myanmar.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat, ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Chong berkata, dia mulanya menerima mesej menerusi aplikasi Messenger dari anaknya yang berusia 31 tahun itu pada awal Ogos lalu.
Dalam mesej tersebut, anaknya meminta pertolongan ibunya bagi membuat laporan polis dan membantunya pulang semula ke Kuching.
“Dia memberitahu saya telah ditipu dan sempat memberi lokasi yang dipercayai berada di Myanmar.
“Anak saya mengikuti dua orang kawan berbangsa Cina ke Thailand untuk mencari pekerjaan.
“Saya dimaklumkan bahawa dua orang kawan anak saya itu masih aktif berulang-alik antara Malaysia dan Thailand,” ceritanya.
Keadaan menjadi bertambah parah setelah anaknya yang merupakan kakak kepada mangsa membuat keputusan untuk mencari adiknya di Thailand, 28 Ogos lalu.
Di Thailand, dia telah berjumpa dengan dua orang kawan adiknya itu.
Bagaimanapun, keadaan menjadi bertambah keruh apabila kakaknya yang berusia 41 tahun itu gagal dihubungi dan tidak mempunyai sebarang berita hingga sekarang.
Akibat terlalu buntu, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum dibantu oleh Setiausaha Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik Sarawak (DAPSY), George Lam untuk menghubungi kedutaan Malaysia di Bangkok.
Sehubungan itu, Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menggesa pihak berkuasa untuk mengambil langkah segera dan proaktif bagi mengesan dua beradik tersebut sekali gus menyelesaikan isu itu.
Tegasnya, kelewatan dalam menangani isu itu tidak hanya merisikokan nyawa mangsa yang terlibat malah, akan memberi impak negatif kepada ekonomi negeri ini.
“Malaysia sebelum ini dilaporkan berada pada kedudukan Tahap 2 dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2024 yang mencerminkan sedikit penambahbaikan
“Bagaimanapun, situasi pemerdagangan manusia di negara ini masih berada dalam tahap yang membimbangkan.
“Lebih parahnya, krisis ini semakin membimbangkan apabila melibatkan kes dari Kuching ini,” ujarnya semasa sidang media berhubung kehilangan dua beradik itu di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan mengingatkan orang ramai terutamanya golongan belia untuk sentiasa berhati-hati apabila meneroka peluang pekerjaan di luar negara yang menawarkan imbuhan yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan meneruskan usaha susulan dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Luar Negeri dan konsulat di Thailand dan Myanmar untuk memastikan isu itu ditangani secara menyeluruh.
Oleh Rynna Sha’erra