HANOI: Tanah runtuh yang dicetuskan banjir kilat akibat Taufan Yagi mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang di utara Vietnam, dengan 73 masih hilang, lapor media tempatan pada Rabu.
Berdasarkan beberapa laporan, tanah runtuh itu berlaku di kampung Lang Nu di wilayah Lao Cai, membunuh sekurang-kurangnya 22 orang dan menyebabkan 73 orang lagi masih hilang manakala 30 mangsa berjaya diselamatkan.
Kira-kira 210,000 hektar tanaman musnah, kata pegawai kementerian pertanian, akibat bencana alam sejak hujung minggu lalu.
Kerajaan Vietnam sebelum ini berkata jumlah korban akibat Yagi, ribut taufan paling kuat melanda utara Vietnam dalam tempoh 30 tahun, meningkat kepada 143 di seluruh negara, dengan 58 masih hilang.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada angka kematian keseluruhan itu, termasuk mangsa tanah runtuh yang terbaharu hari ini.
Taufan Yagi melanda pada hujung minggu membawa angin melebihi 149 kilometer sejam (km/j) dan hujan lebat yang menyebabkan banjir yang tidak pernah dialami dalam tempoh beberapa dekad.
Laos, Thailand dan Myanmar semuanya turut dilanda banjir susulan ribut itu, dengan kematian dilaporkan di kedua-dua Thailand dan Laos.
Akhbar negara, Tuoi Tre melaporkan, tanah runtuh berlaku di kawasan pergunungan terpencil dan kerja menyelamat adalah sukar, selain memaklumkan, tiada internet di kawasan itu manakala laluan pengangkutan terputus.
“Pihak berkuasa sedang menggerakkan pasukan untuk mendekati kawasan tanah runtuh bagi meneruskan pencarian mangsa yang selamat,” kata ketua parti daerah, Hoang Quoc Bao, yang dipetik Tuoi Tre.
Mengikut kajian yang diterbitkan pada Julai, taufan di kawasan itu terbentuk semakin dekat dengan pantai, semakin cepat berkembang dan berada di daratan lebih lama akibat perubahan iklim.
Sementara itu, di utara Thailand, banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat dibawa Taufan Yagi meragut empat nyawa serta menenggelamkan ribuan rumah, ketika tentera digerakkan untuk membantu keluarga yang terjejas.
Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra, berkata bantuan sedang dalam perjalanan kepada kira-kira 9,000 keluarga yang dilanda banjir di wilayah utara Chiang Mai dan Chiang Rai.
Jabatan meteorologi Thailand juga memberi amaran bahawa lebih banyak hujan lebat dijangka berlaku sehingga Selasa depan, membawa risiko banjir kilat baharu.
“Antara 13 dan 17 September, sila berhati-hati dengan kemungkinan bahaya yang disebabkan hujan lebat hingga sangat lebat,” katanya dalam kenyataan.
Pusat operasi kecemasan kerajaan memaklumkan, seramai 29 orang terbunuh akibat bencana berkaitan hujan lebat sejak awal musim hujan. – AFP