SERIAN: Kerajaan Sarawak melalui Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) akan memastikan segala hak harta intelek yang dihasilkan oleh agensi kerajaan Sarawak dilindungi dan dimanfaatkan untuk menjanakan pertumbuhan sosioekonomi negeri ini khususnya.
Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph berkata, hak harta intelek penting sebagai pemangkin utama dalam memacu relativiti dan inovasi yang merupakan salah satu pemboleh utama untuk memajukan Inisiatif Transformasi Ekonomi Digital Sarawak iaitu selaras dengan pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Setakat ini banyak produk tempatan telah didaftarkan di bawah hak harta intelek yang menembusi pasaran global seperti produk Ikan Empurau, Midin Sarawak dan Beras Bario.
“Hari ini harta intelek tidak lagi dilihat sebagai ‘protective legal shield’ semata-mata malah mempunyai fungsi sama seperti harta ketara lain iaitu boleh diperdagangkan dan dilesenkan dengan nilai yang tinggi.
“Elemen terkandung adalah meliputi paten, cap dagangan reka bentuk perindustrian, hak cipta dan petunjuk geografi,” ujarnya.
Jelasnya, harta intelek adalah hasil ciptaan minda sama ada dalam bentuk reka cipta, simbol, nama yang digunakan dalam perdagangan serta ciptaan seni.
Beliau berkata demikian berucap pada Program Seminar Pemerkasaan Harta Intelek 2024 Bahagian Serian bertempat di Hab Digital Serian hari ini.
Menurut Caroline, bagi menjaga pendaftaran harta intelek di bawah undang-undang berkaitan, kerajaan Sarawak telah menjadikan SMA sebagai agensi bertanggungjawab mengurus dan menyelaras perlindungan Hak Harta Intelek yang dihasilkan oleh agensi-agensi kerajaan Sarawak dan komuniti setempat.
Sehubungan itu, Caroline berharap agar program seperti ini disebar luas kepada usahawan muda bagi Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) supaya penduduk di Bahagian Serian tidak ketinggalan dalam ilmu menghasil dan mencipta serta melindungi hak harta intelek masing-masing dalam memacu ekonomi digital dan konvensional.