WASHINGTON: Seorang pegawai kanan tentera Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada China mengenai tindakan ‘berbahaya’ Beijing di Laut China Selatan, ketika rundingan pertama kedua-dua ketua tentera mereka.
Washington dan Beijing masih berselisih faham dalam isu seperti perdagangan, status Taiwan yang memerintah negaranya sendiri dan pendekatan China yang semakin menekan di kawasan maritim yang dipertikaikan.
Namun, kedua-dua pihak berusaha untuk memulihkan rundingan antara tentera dengan tentera secara berkala, bertujuan untuk mencegah pertikaian kritikal melampaui batas sehingga hilang kawalan.
Komander Pentadbiran AS di Indo-Pasifik, Samuel Paparo dan Ketua Komando Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), Wu Yanan, sebelum ini mengadakan perbincangan melalui panggilan video.
Menurut kenyataan daripada Paparo, pihaknya menekankan kepentingan untuk mengekalkan komunikasi antara tentera AS dan PLA.
“Perbincangan seperti ini antara pemimpin kanan bertujuan untuk menjelaskan niat, sekali gus mengurangkan risiko salah faham atau salah perhitungan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan mengenai interaksi tidak selamat dengan sekutu AS baru-baru ini oleh pihak China.
Paparo turut menggesa PLA untuk mempertimbangkan semula penggunaan taktik berbahaya dan berunsur paksaan, yang berpotensi untuk meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan dan kawasan lain.
Selaku Komander Teater Selatan, Wu bertanggungjawab ke atas aktiviti ketenteraan Beijing di Laut China Selatan, di mana kapal-kapal China terbabit dalam beberapa pertembungan besar dengan kapal Filipina dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
China menuntut hampir semua kawasan perairan yang penting dari segi ekonomi di laut China Selatan meskipun ada tuntutan bertindih dari negara lain dan mahkamah antarabangsa memutuskan bahawa tuntutan China tiada asas undang-undang.
Bulan ini, Beijing menegaskan ia mempertahankan ‘haknya’ di laut China Selatan, selepas Filipina mengeluarkan rakaman yang menunjukkan sebuah kapal pengawal pantai China merempuh salah satu kapalnya semasa konfrontasi di laut.
Sementara itu, kenyataan dikeluarkan Beijing menyatakan bahawa Wu ‘bertukar pandangan secara mendalam’ dengan rakan sejawatannya dari AS.
Kedua-dua pegawai itu dikatakan membincangkan ‘isu yang menjadi kebimbangan bersama’, tambahnya.
Rundingan itu adalah yang pertama seumpamanya sejak China membatalkan komunikasi ketenteraan dengan AS pada 2022 sebagai bantahan kepada lawatan Speaker Dewan Rakyat AS ketika itu, Nancy Pelosi, ke Taiwan.
Dialog ketenteraan peringkat tinggi pada Selasa antara pesaing geopolitik itu diadakan selepas lawatan pertama ke China oleh penasihat keselamatan negara AS sejak 2016.
Pembantu tertinggi Rumah, Putih Jake Sullivan melawat Beijing bulan lalu, di mana beliau mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan tentera, Zhang Youxia. – AFP
Gambar
Menteri Luar China, Wang Yi (kanan) bersama Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan, sebelum mengadakan perbincangan di Tasik Yanqi di Beijing, China pada akhir Ogos lalu. – Foto AFP