KUALA LUMPUR: Menggalas watak utama dalam teater muzikal yang juga simbolik kepada Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China, bukan satu tugas yang mudah untuk menjiwainya.
Memerlukan komitmen yang tinggi, akui Dewi Liana Seriestha, 34, wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini, bagaimanapun, bersyukur diberi kepercayaan menjayakan watak Puteri Hang Li Po dalam teater berkenaan, biarpun tidak ramai mengenalinya walaupun sudah lebih 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni.
Wanita berketurunan Bidayuh ini pada masa sama tidak menafikan turut berdepan cabaran sukar memandangkan pementasan teater yang diinspirasikan daripada sejarah Maharaja China dan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15 ini, memerlukannya bertutur dalam bahasa Mandarin, berlatarkan zaman Dinasti Ming.
Bekas peserta program Mentor musim pertama pada 2005 dan Miss World Malaysia 2014 ini memberitahu Bernama, dia tidak langsung pandai berbahasa Mandarin biarpun mempunyai darah Cina melalui bapanya yang juga pemuzik Indonesia, Yudhi Seriestha.
“Teater ini dipentaskan kembali selepas 20 tahun untuk meraikan sambutan diplomatik antara Malaysia dan China, kualiti pementasannya tentu jadi tumpuan. Dewi bersama pelakon lain perlu menghasilkan yang terbaik tetapi Dewi memang tidak pandai berbahasa Mandarin.
“Bapa berbangsa Cina tetapi dia tidak pandai berbahasa Mandarin kerana asal dari Indonesia. Sedangkan, ada satu babak di dalam istana memerlukan Dewi bertutur menggunakan bahasa Cina istana lama. Memang agak sukar, tetapi ini peluang dan Dewi tidak mahu mensia-siakannya,” katanya.
Komited melakukan terbaik dalam mengukuhkan intonasi dan sebutan bahasa Mandarin lama zaman berkenaan, wanita ini yang ditemui selepas sidang media Teater Muzikal Puteri Hang Li Po di Istana Budaya baru-baru ini berkata, pelbagai cara dilakukannya untuk menguasai bahasa itu, antaranya menonton filem dan mendengar lagu-lagu lama.
Dewi Liana yang juga anak kepada penyanyi Bidayuh Malaysia Catherine Noep Sigit ini dan pernah berlakon dalam beberapa buah drama seperti Kembali, Patung Cinta untuk RTM, turut mendapat bantuan daripada Jeffrey Chew, salah seorang pelakon teater berkenaan yang menggalas watak Maharaja Cina.
“Selain bertutur, cabaran lain seperti perlu menghafal lebih enam buah lagu secara solo dan berduet. Tetapi, saya bersyukur sepanjang latihan yang bermula akhir Jun lepas, Jeffrey banyak bantu dengan hantar voicenotes dan betulkan cara sebutan tanpa rasa jemu walaupun itu bukan tugas beliau,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya Zubaidah Mukhtar berkata, semua aspek perlu diambil kira dan cabaran Istana Budaya dalam mementaskan semula karya agung itu selepas dua dekad adalah memastikan kualitinya sama seperti dahulu atau lebih bagus dengan nafas baharu bersesuaian jalan cerita.
“Istana Budaya sebagai salah satu agensi yang mengekalkan kecemerlangan seni persembahan pentas bertaraf dunia diberikan peranan yang besar dan dipertanggungjawabkan untuk meraikan sambutan diplomatik ini dalam bentuk seni persembahan dan budaya.
“Ini sekali gus menyokong usaha Kerajaan Malaysia MADANI khususnya melalui Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya dalam sidang media berkenaan.
Bakal dipentaskan di Encore Melaka pada 3 hingga 6 Oktober depan, pementasan Teater Muzikal Puteri Hang Li Po kali ini akan memperlihatkan sebanyak 32 gubahan muzik merangkumi lagu nyanyian, tarian mahupun melodi penceritaan yang dihidupkan semula dengan nafas baharu, lebih segar dan sesuai dengan jalan cerita.
Lagu-lagu itu, menurut Zubaidah, akan dipersembahkan secara langsung oleh gabungan 49 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia, Orkestra Simfoni Kebangsaan serta pemuzik jemputan yang diketuai oleh Mohd Yazid Zakaria selaku pengarah muzik.
“Teater berdurasi selama dua jam itu juga menjemput dua pemuzik dari China untuk bersama berkolaborasi sebaris dengan pemuzik Istana Budaya sebagai simbolik keharmonian antara dua negara.
“Penonton akan disajikan dengan persembahan memukau berasaskan seni warisan dan kebudayaan dari kedua-dua negara serta melihat sendiri gabungan unik, keindahan serta kepelbagaian seni budaya yang ditonjolkan melalui tarian, busana, seni mempertahankan diri dan juga aspek linguistik,” katanya.
Tempahan tiket boleh didapati di setiap platform media sosial Istana Budaya dan dijual dengan harga rahmah dan berpatutan serendah RM48 bagi kanak-kanak berumur 12 tahun, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas berumur 60 tahun ke atas sementara RM78 bagi dewasa warga Malaysia.
Selain Dewi Liana, teater muzikal ini juga dibarisi Luqman Hafidz sebagai Sultan Melaka, Brian Chan (Laksamana Ming You), Hairi Safwan (Tun Perpatih Putih), Kembang Cina (Datin Louisa Chong), Mak Inang (Amyza Aznan) dan Saifullah Ghaz (Menteri Di Po). – Bernama