BINTULU: Sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju di sini terbakar dipercayai akibat kebocoran molten alumnium menjelang tengah malam tadi.
Dalam insiden sekitar jam 11.50 malam itu, satu letupan kecil tercetus berikutan molten alumnium dikataian tidak dapat bertindak balas dengan air, yang turut dipengaruhi oleh keadaan cuaca hujan lebat.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju, dengan bantuan BBP Bintulu, segera dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.
“Kebakaran melibatkan kawasan berukuran 120x60x120 kaki persegi dan hanya 10 peratus daripada keseluruhan bangunan yang terjejas.
“Anggota bomba menggunakan serbuk alumina untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 2.50 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 pagi tadi.
Tiada mangsa dilaporkan, dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Gambar
Kejadian kebakaran melibatkan kebocoran molten alumnium di sebuah kilang di Taman Perindustrian Samalaju.