WASHINGTON: Kajian pendapat umum terkini menunjukkan persaingan dalam Pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) antara Kamala Haris dan Donald Trump semakin sengit.
Tinjauan yang diadakan dua hari sebelum debat kedua-dua pemimpin menunjukkan Trump masih mendapat sokongan kira-kira separuh pengundi.
Pengaruh calon Republikan itu didapati masih kuat, meskipun berstatus ‘penjenayah’ berhubung tindakannya cuba mengubah keputusan pemilihan Presiden AS 2022 yang menyaksikan kemenangan calon Demokrat, Joe Biden, Presiden AS sekarang.
Harris, yang hanya memasuki pertandingan selepas Biden menarik diri, berjaya mengubah penampilannya daripada seorang Naib Presiden yang kurang mendapat perhatian kepada seorang pesaing yang mampu memberi saingan sengit.
Namun, tinjauan menunjukkan beliau masih belum membuat kemajuan yang ketara, menyebabkan keputusan pertandingan masih menjadi tanda tanya, dengan kedua-dua calon berada pada kedudukan hampir sama.
Tinjauan New York Times/Siena mendapati bahawa Trump, 78, mendahului Harris pada peringkat nasional dengan 48 peratus berbanding 47 peratus, dalam julat ralat yang dibenarkan.
Tinjauan mendapati Harris, 59, mendahului sedikit di hadapan di Wisconsin, Michigan dan Pennsylvania selain terikat di empat negeri iaitu di Nevada, Georgia, North Carolina serta Arizona.
Tinjauan CBS News/YouGov menunjukkan Harris di hadapan dengan satu mata peratusan di Michigan dan Wisconsin serta terikat di Pennsylvania.
Pilihan raya Presiden menjadi huru hara selepas beberapa kes termasuk Biden yang berusia 81 tahun menarik diri kerana kebimbangan mengenai usianya.
Sementara itu, Trump terselamat daripada cubaan bunuh apabila peluru penembak hanya terkena pada telinganya ketika perhimpunan di Pennsylvania.
Pada masa sama, kebimbangan semakin meningkat terhadap Trump, yang dikhuatiri akan mencetuskan kekecohan sekali lagi jika tewas November ini, seperti mana yang berlaku pada 2022.
Bagaimanapun, angka terkini mengesahkan bahawa setiap calon secara sama rata mengekalkan penyokong yang setia dan sangat stabil, sekali gus membahagikan negara kepada dua kumpulan.
Justeru, sesi depat Trump-Harris menerusi ABC News pada Selasa dilihat sebagai gelanggang terakhir bagi kedua-dua calon mengubah status quo sedia ada.
Trump dijangka tertekan dan mungkin tidak dapat mengelak menggunakan strategi menghina dan mengugut ketika berdepan saingan wanita berdarah keturunan campuran bagi menjadi presiden wanita pertama dalam sejarah AS.
Harris perlu memanfaatkan jumlah penonton yang besar untuk menghubungi rakyat AS dengan cara yang beliau tidak dapat lakukan sebagai naib presiden dan kesuntukan masa untuk kempen kerana menjadi calon bidan terjun. – AFP
Gambar
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) merangkap calon Demokrat, Kamala Harris (kiri) dan dan bekas Presiden AS merangkap calon Republikan, Donald Trump, yang akan bertanding pada pemilihan Presiden AS 2024 November ini.