MIRI: Seramai 51 individu termasuk seorang majikan warga tempatan telah ditahan oleh sepasukan anggota dari Unit Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Miri dalam satu operasi yang dijalankan sejak Jumaat lalu.
Operasi itu telah dijalankan di lima lokasi berasingan di sekitar bandar raya Miri.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Sarawak, operasi tersebut bermula pagi Jumaat lalu dan berakhir semalam dengan memeriksa seramai 127 individu.
“Kesemua 51 orang yang ditahan didapati melakukan kesalahan seperti tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi masa, dan tidak mempunyai pas sah untuk tinggal di Malaysia.
“Kesemua kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan adalah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat terus ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia yang berdekatan atau melalui saluran aduan online sedia ada,” katanya.
Gambar
PERIKSA… Sebahagian daripada 127 individu yang diperiksa oleh sepasukan anggota anggota dari Unit Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Miri .