SARATOK: Kejohanan Silat Tanding Tertutup Gayong Sarawak 2024 yang diadakan di Daerah Saratok kali ini mampu melahirkan pesilat berbakat serta dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi selepas ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata kejohanan seperti ini memberi impak tinggi kepada pesilat terutamanya golongan belia yang telah menyertainya.
“Dengan penganjuran kejohanan seperti ini, ia mampu melahirkan pesilat berbakat untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi jika ia digilap dengan betul.
“Adalah tidak mustahil, impian serta harapan pesilat datangnya dari Daerah Saratok satu hari nanti mampu melahirkan pesilat yang bersinar di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Kejohanan Silat Tanding Tertutup Gayong Sarawak 2024 bertempat di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Syn Saratok, semalam.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Cawangan PBB N.38 Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi.
Mohamad Duri turut menyarankan agar mana-mana pertubuhan berasaskan silat di negeri ini memperhebat gerakan mendaftar ahli-ahli baharu terutama di kalangan pelajar dengan menubuhkan pasukan seni silat bagi melahirkan bakat muda dalam seni silat sekali gus mengekalkan tradisi warisan itu.
“Saya juga berharap agar seni silat ini akan dapat berkembang lebih jauh pada masa akan datang supaya anak-anak muda dapat terus mendekati seni silat kerana sukan ini merupakan seni warisan dan alat untuk perpaduan bangsa.
“Sehingga kini, terdapat masih banyak pertubuhan silat yang aktif mengajarkan seni silat demi memastikan seni budaya itu kekal hidup seiring dengan peredaran zaman.
“Insya-Allah saya akan terus membantu dan memberi bantuan kepada pertubuhan-pertubuhan yang memberi manfaat kepada anak bangsa terutamanya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN
Gambar
Kasdi yang mewakili ADUN Kalaka merasmikan Kejohanan Silat Tanding Tertutup Gayong Sarawak 2024 dekat Saratok, semalam.