PETRA JAYA: Bendera Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi akan diganti dengan bendera baharu pada setiap bulan bagi memastikan bendera yang dikibarkan sentiasa dalam keadaan terbaik dan berkualiti tinggi.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, bendera tersebut akan digantikan melalui upacara menaikkan Ibu Pertiwi yang diadakan pada setiap bulan.
“Kita mengambil contoh (upacara menaikkan bendera) yang dibuat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan beberapa negara lain termasuk di Istanbul (Turkiye).
“Jadi, kita melihat di mana mereka mendapat bahan untuk memasang bendera yang ada di ibu negara masing-masing.
“Oleh itu, kami telah menghantar pegawai untuk memeriksa kualiti bendera yang telah dikibarkan di beberapa bandar di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi edisi September di Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai asal usul pembuatan bendera gergasi Ibu Pertiwi, Abdul Rahman mendedahkan bahawa ia dihasilkan dari luar negara kerana belum ada usahawan tempatan yang mampu membekalkan bendera tersebut.
“Sampai tiba waktunya bila kita ada usahawan yang dapat membina bendera ini, sila tampil dan maklumkan kepada kami.
“Jadi, kami mungkin mendapatkan (bendera Ibu Pertiwi) daripada usahawan tempatan,” katanya yang juga Menteri Bertanggungjawab Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Beliau memaklumkan pihaknya sudah membincangkan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan bendera Ibu Pertiwi yang terjatuh ke dalam sungai akibat ribut pada Isnin lalu.
“Sebenarnya kami tidak menyangka bahawa suatu hari bendera Ibu Pertiwi akan jatuh akibat ribut sebab tiada dalam perancangan bahawa perkara itu berlaku.
“Jadi, kami sudah membincangkan SOP baharu. Kita akan mengganti terus bendera itu pada pada hari yang sama atau dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi dan Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Gambar
Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi ketika ditemui pemberita.