BINTANGOR: Seorang mangsa cedera ringan akibat kemalangan jalan raya di Jalan Tung Hin di sini petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Produa Myvi dan Produa Axia.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.33 petang.
“Respons dengan panggilan kecemasan, ketua operasi PBK II Peter Jinang bersama enam anggota bomba bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan melibatkan dua kereta dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, seorang lelaki berumur 25 tahun iaitu pemandu kereta jenis Produa Myvi yang dalam perjalanan dari arah Bintangor menghala ke bandar Sibu mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan itu.
“Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa dari kereta dan melakukan perawatan awal dengan memasang kolar leher.
‘Mangsa telah diserahkan kepada ambulans pihak Kementerian Kesihatan (KKM) Lanang untuk rawatan selanjutnya.
“Sementara itu, wanita berumur lingkungan 23 tahun yang merupakan pemandu kereta jenis Produa Axia dari arah bandar Sibu ke Bintangor tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Seterusnya, pasukan bomba melakukan kerja pembersihan sisa kemalangan sehingga selesai,” katanya.
Tambahnya, operasi di lokasi kemalangan selesai sepenuhnya pada jam 7.34 malam.
Oleh Earl Anek
Gambar
KEMALANGAN….Pasukan bomba membantu mengeluarkan mangsa dari kereta Produa Myvi yang terlibat dengan kemalangan jalan raya di Jalan Tung Hin, petang semalam. Foto BBP Bintangor