PARIS: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram, Pavel Durov, semalam membidas Perancis kerana menahan serta mendakwa beliau pada bulan lalu berhubung penerbitan kandungan ekstremis dan haram dalam platform aplikasi itu.
Dalam satu hantaran panjang lebar melalui Telegram – komen pertama beliau sejak penahanannya – Durov menyifatkan tindakan mempertanggungjawabkan beliau atas kandungan dibuat orang lain, sebagai ‘mengejutkan’.
“Menggunakan undang-undang dari era pra-telefon pintar untuk mendakwa seorang CEO atas jenayah yang dilakukan oleh pihak ketiga dalam platform diuruskannya, adalah satu pendekatan salah,” katanya.
Beliau juga menyelar tuduhan bahawa Telegram adalah ‘syurga anarkis’ yang didakwanya sebagai ‘tidak benar sama sekali’, dengan menegaskan: “Kami membawa turun berjuta-juta hantaran dan saluran berbahaya setiap hari.”
Durov turut menafikan dakwaan Perancis bahawa mereka tiada menerima sebarang respons Telegram kepada permintaan Paris.
Malah, beliau mendakwa bahawa dirinya secara peribadi telah membantu pihak berkuasa Perancis untuk ‘mewujudkan satu hotline bersama Telegram bagi menangani ancaman keganasan di Perancis.’
Namun pada akhir mesejnya itu, Durov berkata, bilangan pengguna Telegram yang melonjak hingga mencecah jumlah 950 juta di seluruh dunia, kian mencabar sehingga memudahkan penjenayah menyalahgunakan platform berkenaan.
“Itulah sebabnya saya menjadikan ia sebagai matlamat peribadi bagi memastikan kami melakukan penambahbaikan secara signifikan berhubung perkara ini,” katanya sambil memaklumkan bahawa usaha terbabit sedang dilaksanakan ‘secara dalaman’ dan butiran lanjut akan dikongsi pada masa depan.
“Saya berharap peristiwa pada Ogos lalu akan menjadikan Telegram – serta industri rangkaian sosial secara keseluruhan – lebih selamat dan kukuh,” katanya.
Beliau berkata, apabila Telegram tidak dapat bersetuju dengan pengawal selia tempatan mengenai ‘keseimbangan yang betul antara privasi dengan keselamatan’, maka mereka bersedia untuk meninggalkan negara itu.
Durov, 39, didakwa selepas empat hari ditahan di Perancis atas beberapa pertuduhan berkait kegagalan membendung kandungan ekstremis dan haram dalam Telegram.
Pada 24 Ogos lalu, beliau ditahan di Lapangan Terbang Le Bourget di luar Paris selepas tiba dengan menaiki sebuah jet peribadi, dan disoal siasat pada hari-hari berikutnya.
Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan bersyarat dengan ikat jamin sebanyak lima juta euro berserta syarat mesti melapor diri di balai polis dua kali seminggu dan kekal berada di Perancis.
Durov adalah warganegara Russia, Perancis dan Emiriah Arab Bersatu yang juga lokasi Telegram berpangkalan. Majalah Forbes menganggarkan kekayaan semasanya mencecah AS$15.5 bilion. – AFP
Gambar
(Gambar fail) Pengasas dan CEO Telegram, Pavel Durov. – AFP.