KUCHING: Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada 9 pagi ini menunjukkan satu stesen mencatatkan kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu di Stesen Pemantauan Kualiti Udara Serian.
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengesan 20 titik panas di Sarawak dan 1,825 di Kalimantan, Indonesia pada 1 hingga 5 September.
Menurut NREB, negara menerima tiupan angin secara konsisten dari arah barat daya berikutan Monsun Barat Daya yang bermula 17 Mei lepas dan dijangka berakhir bulan ini.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan kemungkinan jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara di wilayah Sarawak,” menurut kenyataan itu sambil menambah NREB turut mengaktifkan bilik operasi jerebu dan rondaan lapangan.
Sehubungan itu, NREB memberhentikan pengeluaran permit pembakaran terkawal serta notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek selain mengadakan program kesedaran bersama agensi lain bagi memastikan kualiti udara terjamin.
NREB meminta semua agensi kerajaan serta orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran udara terutama pada musim panas.
“Orang ramai disarankan mengambil beberapa langkah seperti minum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar serta memakai pelitup muka (N95) bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti luar terutamanya golongan berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu.
Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa mengikut Seksyen 30 (1)(a) dan Seksyen 30 (2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (Pindaan 2019) membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali.
Gambar
Peta menunjukkan titik panas