KUCHING: Sektor Pan Borneo Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengadakan lawatan teknikal ke Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, melibatkan laluan dari Telok Melano ke Sematan, bagi berkongsi pengalaman dan pengetahuan berkaitan proses pembinaan lebuh raya tersebut.
Menurut kenyataan JKR Sarawak, lawatan dua hari bermula kelmarin bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada rombongan JKR Sabah mengenai teknologi dan kaedah yang digunakan dalam pembinaan lebuh raya berkenaan, sekali gus meningkatkan kerjasama teknikal antara kedua-dua jabatan.
Katanya, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang menghubungkan Telok Melano dan Sematan kini siap sepenuhnya, memainkan peranan penting dalam memendekkan masa perjalanan bagi penduduk setempat.
“Sebelum ini, penduduk terpaksa menggunakan bot selama tiga jam untuk ke Telok Melano dari Sematan, namun kini perjalanan hanya mengambil masa 30 minit dengan menggunakan lebuh raya tersebut.
“Selain meninjau lebuh raya, rombongan turut melawat Layby Lundu, salah satu kawasan rehat yang dibina di sepanjang jajaran Lebuh Raya Pan Borneo. Layby itu menyediakan kemudahan asas seperti tandas, surau dan gazebo untuk kegunaan pengguna lebuh raya,” katanya.
Dalam lawatan itu, rombongan JKR Sabah juga berkesempatan melawat Muzium Budaya Borneo, Kuching.
Lawatan ini bertujuan untuk berkongsi ilmu mengenai proses pembinaan dan pengurusan muzium tersebut.
Taklimat disampaikan oleh arkitek dari JKR Sarawak yang terlibat dalam pembinaan muzium berkenaan.
Lawatan teknikal ini dijangka dapat meningkatkan kerjasama antara JKR Sabah dan Sarawak dalam aspek pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri.
Gambar
RAKAM KENANGAN… Pihak JKR Sarawak dan Sabah bergambar di hadapan papan tanda Kilometer 0 Telok Melano dan kawasan sekitar.