SIBU: Masyarakat digesa untuk tidak menganggap kempen kebersihan melibatkan komuniti setempat adalah sesuatu program yang tidak penting.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Kevin Lau berkata, walaupun kempen kebersihan komuniti melibatkan aktiviti kumpulan kecil tetapi ia memberi impak yang luas.
“Kempen ini boleh menyatu-padukan penduduk yang menyertainya dalam bersama-sama membina persekitaran yang bersih dan sihat untuk manfaat bersama,” katanya berucap merasmikan kempen membersihkan SJK(C) Kwong Hua anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Sadit Kanan dan Gereja Methodist Ching Ang, Sungai Sadit dekat sini, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau berterima kasih kepada JKKK tersebut yang diketuai ketua masyarakat kerana mengambil inisiatif menganjurkan program kemasyarakatan yang penuh bermakna ini yang memberi manfaat kepada semua penduduk setempat.
“Terima kasih kepada Pengerusi JKKK Sungai Sadit Kapitan Chow Fu Keong kerana memimpin ahli jawatankuasanya untuk berkhidmat secara aktif kepada penduduk setempat termasuk menganjurkan kempen kebersihan.
“Dengan mempromosikan gaya hidup aktif dan sihat, program mereka telah mendapat sokongan semua penduduk di sini yang menunjukkan mereka berkhidmat kepada penduduk setempat melalui sumbangan menjaga alam sekitar,” jelasnya yang juga Ketua Pasukan Pembangunan Komuniti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan.
Lau memberitahu bahawa sebarang aktiviti sedemikian memerlukan kerjasama semua pihak untuk berjalan lancar.
Pada masa sama, ujarnya, perkara yang paling penting bagi setiap aktiviti adalah memberi peluang kepada penduduk kampung untuk mengambil bahagian khususnya generasi muda di Bawang Assan agar memahami tentang penjagaan kebersihan dan persekitaran.
Tegasnya, kebersihan dan penjagaan alam sekitar bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa sahaja tetapi semua terlibat untuk bersama-sama memainkan peranan.
“Marilah kita semua mempunyai matlamat yang sama dan bekerjasama untuk membina Bawang Assan dan Sungai Sadit yang lebih selesa, sihat dan bersih, supaya penduduk yang tinggal di sini dan generasi seterusnya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Oleh Tarani Lanting