DARO: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki berumur 45 tahun yang dikhuatiri lemas di sungai Nanga Semah ditangguhkan pada jam 5.00 petang tadi dan akan disambung semula esok.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, mangsa dikhuatiri lemas semasa mandi di sungai berhampiran sawah padi pagi semalam.
“Mangsa dikenal pasti sebagai Raya Adam dari Rumah Ibok, Nanga Semah.
“Mengikut maklumat yang diperoleh daripada pengadu, memaklumkan mangsa dan ahli keluarga dari rumah panjang yang sama telah pergi ke sawah padi untuk sembahyang pada pagi semalam.
“Setelah itu lebih kurang jam 8.00 pagi, mangsa telah pergi ke sungai berhampiran untuk mandi,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Katanya, pada jam 9.00 pagi, isteri mangsa telah pergi ke sungai untuk mencari mangsa namun gagal dan mangsa dikhuatiri lemas.
“Penduduk kampung telah membuat pencarian di kawasan sekitar namun mangsa tidak dijumpai.
“Pada 5.10 petang semalam, keluarga mangsa membuat laporan polis berkenaan kejadian tersebut dan pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang,” katanya.
Beliau berkata, hari pertama SAR pagi tadi diketuai komander operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, PPgB Nicholas Belulin.
“Pusat Kawalan Bomba (PKB) dibuka 800 meter dari lokasi mangsa hilang dan operasi pencarian terus di mulakan menggunakan teknik pencarian di permukaan air dalam radius 100 meter dari lokasi mangsa disyaki lemas.
“Operasi ditangguhkan pada jam 5.00 petang dan akan disambung semula pada hari esok,” katanya.
Turut berada di lokasi bagi menjalankan SAR adalah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
Setakat berita ditulis, mangsa masih belum dijumpai.
Oleh Earl Anek
Gambar
OPERASI…. Pasukan SAR menjalankan operasi SAR bagi mencari mangsa yang dikhuatiri lemas. Foto PGO Bomba Sarawak