SERIAN: Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin menggesa kepada pihak kerajaan supaya melihat balik sistem kabotaj kerana ia secara tidak langsung membantutkan sedikit industri perkilangan di negara ini.
Katanya ia disebabkan semua barangan sumber bahan mentah yang mereka import daripada negara luar terpaksa melalui pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung Malaysia dan ini secara tidak langsung juga meningkatkan kos produktiviti ataupun pengeluaran produk mereka di kilang.
Katanya, dianggarkan sekitar seribu atau tidak sampai dua peratus pekebun kecil Sarawak yang menuntut insentif berkenaan.
Beliau memberitahu, berdasarkan pemilikan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G), pekebun kecil di negeri itu adalah seramai 57,108 atau 12.5 peratus daripada keseluruhan PAT-G Malaysia.
“Hampir keseluruhan getah asli ini dikeluarkan oleh pekebun kecil berbanding estet yang berada di Sarawak.
“Pada masa ini, hampir 18 peratus penanaman getah Malaysia adalah di Sarawak membabitkan 7.2 ribu tan atau 1.1 peratus daripada sejumlah 639.8 ribu tan getah Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2019,” katanya ketika sidang media di Kilang Hwah Yang Sdn. Bhd., Serian, Sarawak.
Justeru katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) sedang mempergiat usaha menarik lebih ramai pekebun kecil untuk mambuat tuntutan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) terutama ketika harga getah rendah termasuk di Sarawak.
Willie Mongin telah mengadakan lawatan ke dua buah kilang memproses getah iaitu Kilang Lung Kong Rubber Sdn. Bhd., Siburan dan Kilang Hwah Yang Sdn. Bhd., Serian, Sarawak.
Katanya, lawatan ini bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat perkembangan industri getah di Bumi Kenyalang dan mengenal pasti isu serta cabaran yang dihadapi oleh industri tersebut terutama sewaktu negara menghadapi pandemik Covid-19 pada masa ini.
“Dua buah kilang pemproses yang dilawati ini berupaya memproses getah sebanyak 115 tan sehari dan lebih 50 peratus getah asli yang diperolehi adalah diimport dari luar negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, di Sarawak, terdapat 9 buah syarikat yang terlibat di dalam Industri hiliran laitu syarikat pengeluaran tayar celup (retreader) dan tayar terpakai.
“Dalam hal ini, industri hiliran getah disaran untuk dikembangkan dan dipertingkatkan lagi bagi memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya. Turut hadir, Pengarah LGM Wilayah Sabah dan Sarawak Haji Ismail Haji Ibrahim dan Pengurus besar Kilang Hwah Yang Agro Sdn. Bhd. Wong Hung Yong
Oleh Cheryl Law