Oleh: Roslan Jomel
“Dalam tulisan yang benar-benar bagus, tidak peduli berapa kali membacanya, kamu tidak akan pernah merasa “selesai”. Hal itu disebabkan selalu ada misteri dalam setiap tulisan bagus dan misteri itu tidak terpecahkan. Berlangsung seperti itu dan ini selalu absah. Setiap kali kamu membaca ulang tulisan bagus, kamu akan memahami atau mempelajari sesuatu yang baharu.” – dipetik dari buku Belajar Menulis Mulai dari Hal yang Paling Sederhana,tulisan Ernest Hemingway (versi terjemahan bahasa Indonesia), terbitan Circa, 2022.
Demikian, kesan pengalaman, baik secara emosional mahu pun estetik, membaca dan menyelami naskhah “Kampung Sungai Tengah”, karya Stephanie Juanita Ahlee.
Ceritanya tidak kosong, tetapi mengundang mesej tertentu. Naskhah ini juga, mengingatkan saya tentang beberapa naskhah yang turut menyelusuri pengembaraan spiritual seseorang yang sudah pun meninggal dunia dengan persoalan-persoalan (kesilapan-kesilapan) dilakukan semasa hidup. Maka, ada nada kepiluan dan penyesalan yang bertumpuk dalam kepala watak yang malang itu. Hal itulah yang menambah kompleksiti seseorang manusia yang hanya dimengerti oleh individu tersebut. Itulah teras moral yang menjadi inti kepada naskhah itu.
Jika sesiapa pernah membaca cerpen “The Return” (karya Roberto Bolano), misalnya, senarionya hampir serupa (pengkaedahan bercerita) dengan arah naskhah plot “Kampung Sungai Tengah”.Seorang peminat karya kreatif yang luas jangkauan pembacaannya pasti mengesani bahawa pengarang naskhah itu sudah pun mematikan watak utamanya. Watak utamanya tidak lagi berada di alam nyata, berpandukan peristiwa-peritiwa aneh dan janggal dilalui olehnya. Itulah suatu pengalaman yang sukar untuk difahami oleh logik manusia biasa. Di sinilahlah penanda aras kebolehan seseorang pengarang karya kreatif menghasilkan suatu pengalaman yang istimewa dalam kehidupan manusia. Itulah permainan fiksyen, kreativiti dan khayalan daripada pengarang naskhah untuk menjadikan tulisan itu ada jiwa dan keseniannya.
Dalam buku Kritik Seni, Wacana Apresiasi dan Kreasi, terbitan Pustaka Pelajar, tulisan Dr. Nooryan Bahari, penulis memetik buku Garis Besar Estetik, karya The Liang Gie, untuk memberikan takrifan tentang pengertian seni (halaman 66-67), pertama, seni, dalam erti yang paling mendasar, ialah kemahiran atau kemampuan. Dua, seni ialah suatu kegiatan manusia yang, secara sedar dan melalui perantaraan tanda-tanda lahiriah tertentu, menyampaikan perasan-perasan yang telah dihayati kepada orang lain, sehingga mereka juga merasakan apa yang telah dirasakan oleh pencipta karya. Tiga, seni ialah suatu kegiatan manusia dalam menjelajahi dan menciptakan realiti baharu berdasarkan penglihatan yang irasional (tidak rasional), sambil menyajikan realiti itu secara simbolik atau kiasan seperti kebulatan dunia kecil yang mencerminkan sebuah kebulatan dunia besar. Seterusnya, seni ialah suatu kegiatan yang dirancang untuk mengubah bahan-bahan alamiah menjadi sesuatu yang berguna atau indah.
Jelas, Stephanie Juanita Ahle, seorang pengarang yang berbakat. Sama ada naskhah yang dihasilkan diangkat daripada kisah benar atau rekaan semata-mata, hal itu tidak menjadi permasalahan kepada kerja pertukangannya. Pengarang mempunyai gagasan yang lebih penting berbanding keinginan watak utama untuk balik ke kampung kelahirannya. Ada suatu hal yang ingin diselesaikan oleh watak utama yang dilanda kerinduan pada kampung kelahirannya. Sesuatu hal yang sangat memberat dalam jiwa dan fikirannya dan mesti dilaksanakan seberapa segera.
Benar, watak utama itu sudah mula berasa jelak dengan keadaan riuh-rendah di tengah bandar. Asal usulnya dari kampung. Bandar hanyalah persinggahan buat sementara waktu. Tetapi, perbuatan watak utama menjual kampung dengan tipu helah tidak akan dilupakan oleh para penduduk yang berjuang untuk menuntut hak mereka. Dalam insiden pembakaran rumah panjang oleh pihak yang membeli tanah di situ, para penduduk kampung turut terbakar dan mati di situ juga. Watak utama yang hidup senang-lenang hasil daripada wang jualan di tengah bandar, pasti terpukul oleh perbuatan jahatnya sebelum ini. Watak utama yang berasa bersalah dan menyesal, ingin segera untuk meminta maaf kepada semua penduduk. Nasi sudah menjadi bubur. Watak utama sudah pun mati (dia agak tergemap) ketika menyesal di depan orang tuanya, yang juga sudah lama meninggal dunia.
Lambat-laun, individu seperti dia, akan pulang juga ke tempat yang pernah memberikan kebahagiaan yang tidak ternilai berbanding harta dan wang. Isterinya sudah tiada. Anak-anak dia juga sudah dewasa. Tiada lagi yang ingin diraih dan suasana bandar telah melemaskan jiwanya. Sebelum dia menutup mata, alangkah indahnya berada semula di samping saudara-mara dan kawan-kawan semasa kecil dahulu di kampung halaman. Keinginan itulah yang membimbangkan anak-anaknya, Andi, Umang dan Bennet. Bangkangan daripada anak-anaknya, tidak dihiraukan. Dia mesti ke sana juga, walau apa-apa pun risiko. Dia yakin, masih ingat jalan menuju ke kampung halamannya. Tujuannya berakhir di atas jalan raya.
Mereka membantah. Ketiga-tiga anaknya itu yang membesar di tengah bandar, pasti tidak mengerti betapa sangat berertinya kampung halaman tempat ayahnya berasal. Sudah tentu alasan penyakit dementia yang ditanggung ayah mereka, lebih mencemaskan. Apa akan terjadi andai ayah mereka pergi sendirian, secara sembunyi-sembunyi, dengan memandu kereta (dalam keadaan mamai) ke kampung yang sudah tidak wujud lagi? Sebagaimana yang diketahui oleh anak-anak mereka, ayah yang degil itu tetap meneruskan juga hajat terakhirnya untuk berada di kampung Sungai Tengah. Tidakkah watak utama itu maklum, bahawa tanah di kampung itu sudah pun dijualnya dengan cara yang tidak bermoral? Sanggup memperdaya ketua kampung buta huruf untuk menurunkan tanda tangan. Kononnya rumah panjang itu bakal dibaik pulih.
Kenangan masa kecil dan remajanya bagai mengajak untuk kembali menjenguk ke rumah panjang yang ditinggalkan puluhan tahun lamanya. Dia, barangkali sudah pun berusia lanjut, diusik oleh nostalgia lalu dan ingin berada di sebuah dunia yang belum lagi tercemar. Namun, itu hanyalah khayalan dan malangnya, hajat watak utama tidak kesampaian. Watak utama terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya. Lebih mengharukankan, kampung yang ingin dilawatinya, kampung Sungai Tengah, sudah tiada lagi pada masa kini. Pada bahagian ini, pengarang menampilkan suatu dunia lain, yang berbeza dengan alam nyata, tetapi itulah usaha kreatif yang diwajarkan untuk menampilkan pengalaman ghaib watak utamanya.
Dunia berlapis-lapis. Kehidupan juga berwarna-warna. Apa yang dialami oleh watak utama bukanlah hal yang baharu. Di luar sana, sebahagian manusia tergamak untuk menipu, tanpa rasa malu dan berdosa, demi meraih keuntungan. Jangan mudah terpesona oleh penampilan hebat seseorang. Berpakaian kemas dan bercakap seperti cendekiawan terbilang, belum jaminan bahawa akhlak dan harga dirinya tinggi. Demikianlah apa yang ditunjukkan oleh watak utama, celik huruf dan kepandaiannya itu, dimanipulasikan untuk faedah segera hingga sanggup membohongi para penduduk di kampung halaman sendiri. Watak-watak seumpama itu sudah terlalu kerap dilihat, ditonton dan dikenali di dunia nyata yang serba keruh kini. Hanya waktu dan keadaan sahaja akan menghukum atas segala perbuatan keji mereka. Watak utama dalam naskhah tulisan Stephanie Juanita Ahlee, diberikan pembalasan yang setimpal.
Dalam naskhah “Kampung Sungai Tengah”, isu penyakit dementia yang dialami oleh watak utama, bukan pokok persoalannya. Pembaca, sebaliknya, terusik oleh situasi serta kemelut yang ditanggung oleh Reging Amat. Watak yang ingin disorot oleh pengarang itu bukan sahaja berhadapan dengan penyakit dementia, malahan juga dipalit dengan kisah hitam yang kini membebankannya di penghujung usia. Perbuatan khianat yang dilakukan oleh Reging Amat masih terus bersemadi dalam urat dan darahnya. Adakah dia terlupa atau tidak, perbuatan yang menyebabkan seluruh tanah di kampung itu sudah lupus dari pemandangan, seolah-olah memburunya pula.
Reging Amat memandu kereta milik anaknya, Umang, secara curi-curi. Di atas jalan raya yang sesak dengan kenderan lalu-lalang, menderu laju kerana mengejar urusan, kereta yang dipandu Reging Amat pasti menjejaskan keadaan trafik. Sukar untuk dijangka, bilakah seseorang yang mengalami masalah lupa ingatan, nyanyuk atau dementia itu, berada dalam keadaan waras seratus-peratus. Hal ini kerana ia membabitkan otak. Bayangkan kejadian buruk yang bakal menimpa ke atas Reging Amat yang memandu kereta dalam keadaan dementia. Arah haluan pemanduannya bukan sahaja lintang-pukang, tetapi juga tiada destinasi yang hendak dituju. Akibat pemanduannya itu, pembaca boleh menyedari malapetaka yang dialami oleh Reging Amat. Pada detik hon kereta yang membingit, Reging Amat memulaskan stereng keretanya ke tepi jalan dan selepas itu, pemandangan menjadi berbeza di matanya.
Pengalaman mistik yang ditempuhi oleh Reging Amat adalah satu laluan ke alam lain. Dia tidak lagi berpijak di atas bumi. Disebabkan pengalaman sedemikian sangatlah sulit untuk dinyatakan secara konkrit, pengarang naskhah melampiaskan situasi ghaib itu ke dalam bentuk fiksyen. Dalam dunia imaginatif, pengarang diberi keizinan untuk menghidupkan orang yang mati, dan memberikan nyawa kepada mereka untuk menempuhi suatu pengalaman yang tidak dimiliki oleh orang biasa di dunia nyata. Sudah tentu ada amanat yang hendak disematkan di balik cerita dan musibah yang menimpa ke atas diri Reging Amat. Penyesalan yang menyelinap dalam jiwanya, sudah tiada manfaat lagi. Dia sudah pun mati dan kesalahan yang dilakukannya kepada penduduk kampung, turut dibawa sekali.
Dalam buku Saksi Kata, tulisan Arif Bagus Prasetyo, terbitan Diva Press, Mei 2021, pengarang buku menulis, dipetik dari sebuah esei “Mencipta Sastera, Mencipta Sejarah”, bahawa “sastera menyediakan ruang bagi ingatan, satu-satunya peluang kita untuk tidak mengulang-ulang kebodohan kita sendiri. Dengan berbagai cara, sastera mempertautkan kita kembali dengan sejarah yang telah membentuk dan akan selalu menentukan eksistensi kita sebagai manusia.”
Demikian, mutiara yang tersimpan dalam cerita “Kampung Sungai Tengah”yang disampaikan dengan cara memikat. Insiden kemalangan watak utama tidak ditampilkan dengan kaedah konvensional. Namun diheret ke alam kematian dengan menyedarkan watak utamanya bahawa dirinya tidak lagi bernyawa oleh ayahnya sendiri. Mustahil, barangkali itu yang dipersoalkan oleh Reging Amat. Kerap kali, manusia memang tidak sedar kesalahan-kesalahan yang dilakukan kerana asyik dengan habuan yang diraihnya. Hanya dengan insiden yang menyakitkan, barulah dia terduduk di atas lantai dalam keadaan menanggung keaiban sendiri. Tetapi, segala-galanya sudah terlambat. Apa yang telah dicoret hitam dalam sejarah kehidupannya, sukar untuk dijernihkan kembali dengan selaut air bersih. Reging Amat tidak percaya bahawa dia sudah mati. Bahkan dia, tidak tahu di alam manakah dia berada.
Pengarang tidak terlihat secara terang-terangan mengkritik kelakuan Reging Amat. Tetapi, dengan sentuhan kesenian, pengajaran dan teguran sosial dijalin dengan halus dan terpendam di balik perjalanan terakhir Reging Amat di atas muka bumi. Reging Amat telah menerima hukuman, biarpun tidak melalui undang-undang. Dia diseksa secara mental dan harus menyedari bahawa rasa penyesalannya sudah tiada ertinya lagi. Inilah yang dinamakan kiasan dalam menyampaikan pesan moral dalam karya sastera. Tidak semua yang mampu menyampaikan amanat sosial dengan tersembunyi dan berkias. Apatah lagi dalam memperkatakan tentang gejala moral dan kelakuan manusia yang serba rumit jiwa dan simpang-siur fikirannya.
Pesanan moral dalam karya kreatif bagaikan tercantum, biarpun tidak semestinya diungkapkan secara ketara. Hal demikian sudah terakam sejak dahulu lagi. Ia sumbangan khusus daripada pengarang, selaku pemikir, kepada senario dalam masyarakat. Sasterawan yang baik ialah pengarang yang berfikir tentang keadaan masyarakatnya dengan pandangan yang jeli. Mereka, para pengarang, tidak menghukum, tetapi menganjurkan persoalan-persoalan untuk direnungkan dengan saksama. Cerita tidak akan ada maknanya jika tidak memberi sesuatu gagasan, wawasan dan renungan untuk dikongsikan oleh para pembaca. Demikian sebagaimana yang dinyatakan oleh Budi Darma melalui esei “Moral dalam Sastera”dari buku Harmonium, terbitan PT Gramedia Pustaka Utama, Oktober 2023, “anggapan bahawa sastera identik dengan moral tentu saja bukannya tanpa alasan. Seperti juga falsafah dan agama, sastera juga mempelajari masalah manusia. Dengan cara berbeza-beza, sastera, falsafah dan agama dianggap sebagai sarana untuk menumbuhkan jiwa “humanitat”, iaitu jiwa yang halus, manusiawi dan berbudaya.”
Naskhah “Kampung Sungai Tengah” wajar dipuji kerana dihasilkan dengan baik dan paling penting, disulami dengan kehalusan penceritaannya. Penulisannya kemas, terkawal dan meninggalkan suatu perasaan kesedaran kepada para pembaca. Kesudahan ceritanya tidak dilakukan dengan tergesa-gesa. Bahkan mengundang suatu keterujaan untuk dibaca kembali naskhah itu.
Naskhah yang dihasilkan oleh Stephanie Juanita Ahlee tidak sia-sia. Hanya dengan jiwa yang tulus, manusia tentu melihat kekeruhan diri yang terbias di depan cermin. Segala perbuatan yang tidak bermoral dan beretika suatu ketika dahulu, lambat-laun akan terbongkar juga akhirnya. Baik secara undang-undang atau penyeksaan peribadi. Itulah hentaman yang ingin pengarang hempaskan ke muka pelaku di luar sana.
Ranah sastera kita memerlukan lebih ramai pengarang yang berkaliber, sentiasa ingin mempelajari sesuatu ilmu, bersifat rendah diri dan berlapang dada apabila karya mereka diberikan respons. Bakat dan potensi yang dimiliki oleh empunya naskhah itu haruslah dipupuk dengan cekal dan sentiasa konsisten. Dia mempamerkan bakatnya dengan hasil kerja yang baik. Melontarkan nada kritikan sosial tetapi dengan kaedah yang halus dan mudah diikuti. Perjalanannya masih panjang, dan hanya dengan arah jelas, barulah seseorang pengarang berjaya menemui jalan tujuannya dalam bidang kesusasteraan yang menagih akal dan fikiran yang dewasa.