PARIS: Pelari pecut Itali, Valentina Petrillo mencipta sejarah apabila menjadi atlet transgender pertama beraksi di Sukan Paralimpik.
Petrillo, 50, menamatkan saingan di tempat kedua dalam aksi saringan 400 meter (m) T12, kategori untuk atlet cacat penglihatan dengan catatan masa 58.35 saat (s) sekali gus layak ke separuh akhir pada Paralimpik Paris 2024.
Petrillo menghidap penyakit Stargardt, satu keadaan retinogenetik yang menyebabkannya kehilangan penglihatan secara beransur-ansur.
Berbeza dengan pesaingnya yang lain, dia berlari tanpa menggunakan khidmat pembantu.
Dalam satu temu bual dengan AFP sebelum temasya, Petrillo berkata aksi di Paris akan menjadi momen paling penting dalam kerjaya sukannya selepas gagal melayakkan diri ke Paralimpik Tokyo tiga tahun lalu.
Dia mengaku dirinya sebagai wanita pada 2017.
“Ketika saya seorang lelaki, saya bukan diri saya sendiri, saya berlari dengan brek tangan dan saya tidak gembira.
“Sudah tentu tidak segembira seperti sekarang, walaupun saya sedikit lebih tua,” katanya kepada AFP.
Gambar
Petrillo ketika beraksi dalam saringan 400m T12 di Sukan Paralimpik Paris, hari ini. Foto AFP