TOKYO: Jepun mengalami musim panas paling panas tahun ini sejak rekod bermula, menyamai paras yang dilihat pada 2023, data dari pejabat cuaca menunjukkan hari ini.
Saintis iklim telah meramalkan bahawa 2024 akan menjadi tahun paling panas dalam rekod untuk bumi kerana planet yang semakin panas.
Suhu purata jangka panjang Jepun antara Jun dan Ogos ialah 1.76 darjah Celsius melebihi nilai standard, tertinggi sejak statistik mula disimpan pada 1898, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Julai lalu menjadi yang paling hangat di Jepun sejak rekod bermula, dengan variasi di seluruh kepulauan 2.16 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata.
Di tengah Tokyo sahaja, 123 orang maut akibat strok haba pada Julai, apabila gelombang haba melampau menyaksikan sejumlah rekod ambulans digerakkan di ibu negara, menurut pihak berkuasa tempatan.
Selatan Jepun turut dilanda taufan besar minggu lalu, antara yang paling kuat melanda kepulauan dengan 125 juta penduduk itu dalam beberapa dekad.
Taufan Shanshan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang, termasuk tiga ahli keluarga dalam kejadian tanah runtuh, dan mencatat rekod hujan di banyak kawasan.
Taufan di rantau ini telah membentuk lebih dekat dengan garis pantai, semakin meningkat dengan lebih pantas dan bertahan lebih lama di atas daratan akibat perubahan iklim, menurut satu kajian yang dikeluarkan pada bulan Julai.
Analisis atribusi pantas oleh Imperial College London menggunakan metodologi semakan rakan sebaya mengira bahawa angin Taufan Shanshan dibuat 26 peratus lebih berkemungkinan oleh planet yang semakin panas.
Seorang pegawai agensi cuaca Jepun memetik pergerakan aneh angin barat di atas Jepun tahun ini yang “membuat lebih mudah bagi kepulauan itu diselubungi udara panas dari selatan”.
“Turut sama ialah kesan jangka panjang pemanasan global, yang meningkatkan suhu purata,” kata pegawai agensi cuaca Kaoru Takahashi kepada AFP.
Saintis mengatakan bahawa pelepasan bahan api fosil memburukkan keadaan, kekerapan dan keamatan gelombang haba di seluruh dunia.
Dari Januari hingga Julai, suhu global adalah 0.7 darah Celsius melebihi purata 1991-2020, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah.
Rekod suhu telah diperhatikan di Laut Mediterranean, kepulauan Artik Svalbard Norway dan ibu kota Ukraine Kyiv dalam beberapa minggu lalu sahaja.
Australia mencatatkan rekod suhu musim sejuk yang paling tinggi bulan lalu, dengan merkuri mencecah 41.6 Celsius, di sebahagian daripada pantai barat lautnya yang berbatu karang dan terpencil.
Di Eropah, Greece telah menyaksikan 50 peratus lebih banyak kebakaran hutan musim panas tahun ini berbanding pada 2023 serta gelombang haba terawal dan musim sejuk paling panas dalam rekod.
Peningkatan suhu membawa kepada musim kebakaran yang lebih lama dan meningkatkan kawasan yang terbakar dalam api, menurut Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim. – AFP