PETRA JAYA: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan sedang mempertimbangkan penganjuran acara Sukan SEA 2027 di bahagian lain selain Kuching.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pihaknya beberapa hari lepas ada menerima permintaan agar Sukan SEA diadakan di bahagian-bahagian lain di Sarawak seperti Sri Aman dan Sibu.
Bagaimanapun katanya, majoriti sukan akan diadakan di Kuching memandangkan kebanyakan kemudahan sukan terletak ibu negeri Sarawak itu.
“Saya akan membincangkan perkara ini dengan Kuala Lumpur, kerana ini bukan acara sukan bertaraf nasional atau negeri, saya tidak boleh membuat keputusan bersendirian.
“Jadi saya akan berbincang sama ada kita boleh mengadakannya di bahagian lain. Tapi kita mempunyai kemudahan yang mencukupi di sini (Kuching), namun, saya percaya ia tidak akan diadakan hanya di Kuching.
“Seperti mana kita lihat pada SUKMA lepas, sangat baik untuk kita memperluaskannya ke bahagian lain, kita boleh lihat limpahannya kepada komuniti tempatan.
“Bagaimanapun, mungkin tidak diadakan terlalu jauh (dari Kuching), melainkan penerbangan milik Sarawak sudah bersedia untuk mengendalikan perkara ini.
“Ini kerana saya percaya 2027 syarikat penerbangan milik kita sendiri sudah ada. Mungkin penerbangan Kuching ke Sibu banyak, jadi kita boleh adakannya di Sibu, tetapi setakat ini (perancangan) ia dihadkan untuk Kuching,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Pancaragam dan Orkestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau juga menyatakan bahawa negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Sabah juga ada memohon agar sebahagian acara diadakan di negeri itu.
Katanya, beliau terbuka untuk memberikan sebahagian daripada acara diberikan kepada negeri-negeri ini.
“Menteri Belia dan Sukan Sabah datang bersama delegasinya berjumpa saya meminta kalau boleh kita berikan sedikit acara untuk diadakan di Sabah, saya terbuka (untuk memberikan).
“Walaupun kita adakan 14 atau 10 acara di Sarawak, kita masih juga penganjurnya, sekiranya negeri lain mahu menganjurkannya juga, kenapa tidak? Kerana bagi saya, Sarawak tidak akan memonopolikan semuanya, kita perlu berkongsi asalkan mereka mempunyai bajet, kerana untuk menganjurkannya bukanlah murah.
“Jadi kalau mereka nak anjurkannya, dan Kuala Lumpur bersetuju, kenapa tidak,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, beberapa acara sukan seperti boling, terjun dan menembak perlu diadakan di Kuching kerana kemudahan yang dimiliki Kuching bagi acara-acara tersebut adalah terbaik.
“Kita perlu melihat kemudahan, acara terjun, boling dan menembak mesti diadakan di sini, kerana kemudahan kita adalah yang terbaik di negara ini.
“Di tempat lain, kita tidak akan menjumpai pusat boling yang ada 42 lorong seperti di Megalanes Bowling Emart Batu Kawa, dan lapang sasar kita adalah yang terbaik di Malaysia,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT
Gambar
Abdul Karim ketika sidang media Festival Pancaragam dan Orkestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini. Foto HERRIEY NAHA