BARU-baru ini Malaysia Airlines mengumumkan akan mengurangkan penerbangan antarabangsa merekas sehingga hujung tahun ini. Keputusan itu dibuat kerana beberapa insiden yang berlaku membabitkan isu teknikal yang serius terhadap pesawat mereka.
Sehubungan dengan itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan salah satu punca utama kepada masalah ini adalah kekurangan jurutera penyelenggaraan berkelayakan yang dikenal pasti melalui audit khas dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Audit tersebut mendedahkan bahawa sejak awal ini, seramai 63 daripada 411 jurutera penyelenggaraan berkelayakan di bawah Malaysia Airlines telah meletakkan jawatan. Ramai daripada mereka berhenti kerana berpindah ke syarikat penyelenggaraan lain yang menawarkan gaji lebih lumayan. Kekurangan ini telah menjejaskan keupayaan Malaysia Airlines untuk menjalankan penyelenggaraan pesawat mereka dengan cekap sehingga menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan atau ditangguhkan demi memastikan keselamatan penumpang.
Pastinya keadaan ini membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat dan berkelayakan. Namun mungkin ada yang masih keliru akan laluan kerjaya jurutera penyelenggaraan pesawat dengan jurutera aeronautik kerana kedua-dua peranan ini, walaupun saling berkait dalam industri penerbangan, ia mempunyai tanggungjawab dan keperluan berbeza.
Jurutera aeronautik perlu memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang aeronautik atau kejuruteraan penerbangan dari universiti diiktiraf oleh badan yang berkaitan.
Program akademik ini biasanya mengambil masa empat tahun dan melibatkan pembelajaran mendalam tentang teori kejuruteraan, aerodinamik, struktur pesawat, sistem penerbangan dan teknologi aeronautik. Sebaliknya, jurutera penyelenggaran pesawat pula perlu melalui proses berbeza. Mereka yang ingin menjadi jurutera ini boleh bermula terus selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Organisasi Latihan Penyenggaraan (MTO) yang diiktiraf oleh CAAM seperti Malaysia Airlines Berhad Engineering Services. Mereka perlulah terlibat secara langsung dengan aktiviti-aktiviti penyelenggaran bahagian-bahagian pesawat yang berkaitan selain belajar modul yang ditetapkan oleh CAAM untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun di MTO.
Mereka perlu mengisi buku log yang merekod semua aktiviti penyelenggaran di bawah pengawasan dan penilaian oleh jurutera penyelenggaraan pesawat berlesen untuk setiap bahagian yang berkenaan. Setelah memenuhi semua perkara ini, barulah calon boleh memohon untuk menduduki peperiksaan yang akan melayakkan diri untuk memperoleh lesen Jurutera Penyelenggaraan Pesawat dari CAAM.
Peranan dan tanggungjawab
Bagi jurutera aeronautik biasanya mereka terlibat dalam reka bentuk, pembangunan dan penyelidikan pesawat. Mereka bekerja dalam bidang inovasi dan teknologi baharu. Kebiasaannya mereka akan menggunakan perisian canggih untuk membuat simulasi dan analisis aerodinamik serta struktur pesawat.
Tidak sekadar itu, mereka turut mengkaji cara-cara untuk meningkatkan prestasi pesawat, mengurangkan penggunaan bahan bakar dan meningkatkan keselamatan penerbangan. Mereka juga mungkin terlibat dalam ujian penerbangan dan modifikasi pesawat sedia ada.
Jurutera penyelenggaraan pesawat pula lebih fokus kepada penyelenggaraan, pemeriksaan dan pembaikan pesawat. Mereka bertanggungjawab memastikan setiap pesawat berada dalam keadaan selamat untuk terbang dan mematuhi piawai keselamatan yang ketat. Tugas mereka termasuk menjalankan pemeriksaan rutin, mengenal pasti dan membaiki kerosakan serta memastikan setiap bahagian pesawat berfungsi dengan baik. Mereka juga mempunyai kuasa untuk menandatangani dan mengesahkan bahawa pesawat adalah selamat untuk terbang selepas penyelenggaraan.
Peranan mereka sangat kritikal dalam operasi harian syarikat penerbangan, memastikan pesawat sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan mengurangkan risiko kegagalan teknikal semasa penerbangan. Peranan ini lebih berorientasikan kepada aplikasi praktikal dan memberikan impak langsung terhadap keselamatan penumpang dan kru.
Peluang pekerjaan
Peluang pekerjaan bagi jurutera aeronautik ada ditawarkan di syarikat pengeluar pesawat atau dalam sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), contohnya di syarikat antarabangsa seperti Boeing dan Airbus atau Airod Sdn. Bhd. dan Strand Aerospace Malaysia Sdn. Bhd. untuk syarikat tempatan. Di samping itu, mereka juga boleh menjadi pensyarah atau penyelidik di universiti atau institusi pengajian tinggi yang menawarkan program kejuruteraan aeronautik seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau Universiti Putra Malaysia (UPM).
Selain itu, mereka boleh juga memohon kerja di CAAM. Peluang kerja untuk jurutera aeronautik tidak terhad dalam bidang penerbangan sahaja kerana pendedahan ilmu aeronautik ini dapat dimanfaatkan dalam bidang lain seperti automatif atau alam sekitar. Bagi jurutera penyelenggaraan pula, peluang pekerjaan sangat tinggi di Malaysia, terutamanya dalam syarikat penerbangan komersial seperti Malaysia Airlines dan AirAsia, serta di syarikat penyelenggaraan pesawat (MRO – Maintenance, Repair, and Overhaul) seperti Sepang Aircraft Engineering.
Anggaran gaji permulaan
Dari segi gaji permulaan untuk jurutera aeronautik graduan sarjana muda yang bekerja di Malaysia dianggarkan antara RM3,500 hingga RM5,100 sebulan. Gaji ini mungkin lebih tinggi bergantung kepada kemahiran khusus dan syarikat tempat mereka bekerja. Di sektor R&D dan teknologi baru pula, terdapat potensiu untuk kenaikan gaji yang signifikan berdasarkan kejayaan projek dan inovasi yang dihasilkan. Jurutera penyelenggaraan pesawat pula menikmati gaji permulaan yang lebih tinggi, dianggarkan antara RM5,000 hingga RM7,250 sebulan. Hal ini disebabkan oleh tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan operasi harian pesawat.
Tambahan pula, jurutera ini sering kali mendapat peluang untuk bekerja lebih masa yang memberikan tambahan pendapatan. Gaji mereka mungkin meningkat dengan kelayakan tambahan atau lesen lebih tinggi yang juga akan meningkatkan tanggungjawab dan potensi pendapatan mereka dalam industri. Disebabkan peranan dan tanggungjawab berbeza, sekiranya jurutera aeronautik ingin menjadi jurutera penyelenggaraan pesawat, dia juga perlu melalui proses sama seperti mereka yang hanya memiliki SPM.
Begitu juga sebaliknya, jika jurutera penyelenggaraan pesawat ingin meneruskan pengajian di peringkat sarjana muda ke atas, dia perlu memohon untuk menjadi pelajar di institusi pengajian tinggi yang berkenaan.
Kesimpulannya, kedua-dua kerjaya jurutera aeronautik dan jurutera penyelenggaraan pesawat memainkan peranan penting dalam industri penerbangan di Malaysia. Jurutera aeronautik lebih fokus kepada aspek reka bentuk, pembangunan dan penyelidikan pesawat, manakala jurutera penyelenggaraan pesawat lebih khusus dalam penyelenggaraan dan keselamatan operasi harian pesawat.
- Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.