KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, duo yang popular dengan lagu Sumandak Sabah, Marsha Milan Londoh dan Velvet Lawrence Aduk serta pemain sape terkenal dari Sarawak, Alena Murang, bakal menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas di sini, menerusi konsert Sounds of Borneo.
Konsert bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) yang dijadualkan pada 7 Sept itu diadakan bersempena dengan sambutan Hari Malaysia bagi meraikan muzik Borneo, serta menjadi platform untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui muzik yang memukau.
Ketua Jabatan Perniagaan dan Pengurusan Hubungan Strategik MPO Effendy Khalid berkata konsert itu merupakan testimoni komitmen MPO dalam menyediakan platform untuk persembahan muzik orkestra bagi mengetengahkan anak seni tempatan dalam menyokong usaha melestarikan seni budaya.
Beliau percaya tiga penyanyi wanita itu akan memberikan persembahan mengesankan dan penuh makna dalam konsert yang bakal dipimpin oleh Luqman Aziz, iaitu konduktor bersekutu, pengarah muzik dan penggubah untuk Orkestra RTM.
“Kami percaya ia akan menjadi sebuah konsert yang hebat kerana sudah menjadi impian kami untuk menyediakan platform begini buat semua jenis muzik dari Malaysia,” katanya pada sidang media konsert berkenaan, baru-baru ini.
Sementara itu, ketiga-tiga penyanyi wanita berkenaan menyifatkan peluang membuat persembahan di pentas berprestij tersebut sebagai satu pengiktirafan besar kepada ketekunan dan dedikasi mereka dalam memartabatkan muzik Borneo.
Marsha, 39, menyifatkan pembabitannya dalam konsert itu sebagai peluang keemasan yang diimpikan sementelahan muzik Borneo begitu dekat di hatinya.
“Ibarat mimpi menjadi kenyataan… dan apabila kami diberi peluang tentunya kami sangat gembira. Selama ini muzik tradisional Sabah (dan) Sarawak masih dianggap minoriti dan terlalu jarang mendapat tempat untuk dipersembahkan di atas pentas yang besar,” katanya.
Velvet, 37, yang juga penyokong tegar muzik tradisional Sabah, turut menzahirkan rasa syukur kerana pengorbanannya memartabatkan dan memperjuangkan muzik tradisional itu terbalas.
“Susah payah kami, bergolok-bergadai demi meneruskan kelangsungan muzik tradisional terbayar dengan konsert ini. Saya harap ini bukan yang terakhir, malah muncul lagi peluang lain untuk kami bawakan muzik tempatan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Alena atau nama sebenarnya Alena Ose’ Murang, 35, pula berkata pencapaian itu ditujukan khas buat komuniti sape yang teguh memperjuangkan instrumen tradisional berkenaan.
“Konsert ini sangat besar maknanya buat komuniti pejuang sape, kerana di Sarawak sendiri pun masih ramai yang belum melihat sape dan hanya mungkin mendengarnya menerusi lagu.
“Jadi, misi saya adalah untuk membawanya ke aliran muzik arus perdana, namun saya tak mahu ubah sedikit pun muzik tersebut. Saya jenis tradisional dan tidak mahu bermain dalam bentuk kontemporari. Pada saya biarlah keasliannya 100 peratus dikekalkan,” katanya.
Antara susunan lagu yang akan dipersembahkan nanti ialah Gitu’an, Pemung Jae, Sumandak Sabah, Insan Tadau, Panaon, Aramaitii, Bejugit Betanda Menari dan lagu-lagu rakyat seperti Meno, Midang Midang, Jambatan Tamparuli, Put Burui, Datun Julud dan Puteri Santubong.
Tiket dijual pada harga RM188 hingga RM388 menerusi tempahan di laman sesawang DFP di www.mpo.com.my, e-mel boxoffice@dfp.com.my atau hubungi 03-23317007.– BERNAMA
Gambar
Buat julung kalinya, duo yang popular dengan lagu Sumandak Sabah, Marsha Milan Londoh dan Velvet Lawrence Aduk serta pemain sape terkenal dari Sarawak, Alena Murang, bakal menggegarkan Dewan Filharmonik Petronas di sini, menerusi konsert Sounds of Borneo. Foto Sosial media