KUCHING: Dua lagu yang pernah dipopularkan oleh lagenda muzik calypso Amerika Syarikat, Harry Belafonte gemuruhkan suasana pusingan akhir Festival Busking Antarabangsa Kuching (KIBF) 2024, sekali gus menjadikan pasukan Los Pintos juara KIBF 2024.
Dua lagu yang dimaksudkan ini adalah ‘Jamaica Farewell’ dan ‘The Banana Boat Song’ yang memeriahkan suasana KIBF sehinggakan pengunjung dan tetamu jemputan yang hadir menari mengikut rentak lagu.
Keupayaan pasukan Los Pintos bukan sahaja terletak kepada bakat nyanyian, malah kelebihan mereka untuk menghiburkan pengunjung menjadikan mereka antara yang terbaik pada KIBF kali ini.
Ketuanya, Paka Siam, 64, turut menekankan bahawa ‘busking’ bukanlah hanya mengenai bakat nyanyian malah ia juga memerlukan penglibatan daripada penonton untuk menjayakannya.
“Tahun lepas kami turut sertai pertandingan ini, namun sayangnya kami mendapat naib johan. Jadi tahun ini, kami memilih dua lagu ini, ia mudah dan senang, pada masa sama ia juga boleh melibatkan penonton yang hadir.
“Jadi semasa persembahan kami, kita boleh lihat semua orang bergembira, kerana busking ini apa yang penting adalah penglibatan orang ramai. Jadi kami rasa sangat teruja kerana dapat memberi keseronokan kepada penonton selain menjadi juara KIBF edisi kali ini,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat KIBF 2024,di Plaza Merdeka, di sini, malam tadi.
Menurut Paka Siam, Los Pintos sebelum ini dikenali sebagai Hybrid Band, bagaimanapun, pemain gitar utama Hybrid Band tidak berkesempatan untuk menyertai pertandingan KIBF kali ini.
Oleh itu, mereka terpaksa mengubah nama pasukannya kepada Los Pintos.
“Kalau kami semua ada kami dikenali sebagai Hybrid Band, tetapi salah seorang daripada kami tidak dapat ikut. Sebenarnya kami berlima, tetapi kali ini kami berempat, jadi terpaksa guna nama baharu untuk sementara sahaja.
“Hybrid Band sudah ditubuhkan sejak 1987, kami namakan kumpulan kami Hybrid kerana ahli kumpulan kami yang datangnya dari pelbagai kaum. Ada Melayu, Cina dan Bidayuh,”jelasnya.
Tambah bekas guru muzik di Sekolah Seni Malaysia Sarawak itu, kumpulannya ini mempunyai kepakaran dalam lagu-lagu desa barat (Western Country Song), malah pernah menjuarai pertandingan Battle of The Band satu ketika dahulu (1987).
“Kami kebanyakkannya membawa lagu barat, tetapi kami juga boleh membawa lagu-lagu tempatan dan lagu dari negara jiran kita iaitu Indonesia,”katanya.
Los Pintos dibarisi oleh empat ahli yang kesemuanya berasal dari Sarawak, iaitu beliau sendiri, Andrew Ritchie, 37, Petrus Katum, 64 dan Gregory Lee, 48.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL
Gambar
PERSEMBAHAN JUARA…Sekitar persembahan Los Pintos pada pusingan akhir Festival Busking Antarabangsa Kuching (KIBF) 2024, di Plaza Merdeka, di Kuching, malam tadi.