PARIS: Jurgen Klopp menyamakan majlis pembukaan Sukan Paralimpik dengan konsert Taylor Swift ketika beliau menyeru lebih banyak liputan diberikan kepada temasya itu selepas menyaksikan rakan lamanya, Wojtek Czyz, bermain badminton di Paris 2024.
Bekas pengurus Liverpool, Klopp menganggap kisah Czyz sebagai yang paling menginspirasi yang pernah didengarnya dan menjadikan beliau penonton berprofil tinggi di gelanggang satu Porte de La Chapelle Arena.
Kaki kiri Czyz terpaksa dipotong selepas lututnya pecah dalam pertembungan dengan penjaga gol semasa bermain bola sepak pada 2001 sebelum menjadi juara Paralimpik empat kali untuk Jerman dalam acara olahraga.
Dia yang kini berusia 44 tahun turut membantu pesakit amputasi di negara membangun mendapatkan prostetik secara percuma selepas membeli sebuah katamaran dan memulakan pelayaran mengelilingi dunia.
Penampilan sulung Paralimpik untuk negara angkatnya New Zealand, yang mana dia menetap selepas terperangkap di sana ketika pandemik COVID-19, berakhir dengan kekalahan 0-2 kepada Daniel Bethell dari Britain dalam acara perseorangan lelaki SL3.
Klopp yang bersahabat dengan Czyz sejak mereka bertemu dalam perlawanan bola sepak amal pada 2002, percaya sukan mempunyai kuasa untuk mengubah dunia dan berasakan acara para layak mendapat lebih banyak pendedahan.
“Saya sentiasa menontonnya, jika anda boleh kerana itu sudah menjadi cabaran untuk memulakan, cuba cari Paralimpik di televisyen,” kata Klopp, 57, yang meninggalkan Anfield musim panas ini.
“Pada zaman sekarang ia sepatutnya lebih mudah dengan semua penstriman yang ada, tetapi saya rasa kita semua sudah bersedia untuk menonton lebih banyak daripada yang kita tayangkan.
“Hanya beberapa minggu yang lalu, kita ada Olimpik di sini dan tentu saja, ada lebih banyak kamera di sini. Seseorang perlu memulakannya.
“Penyiaran adalah perniagaan, 100 peratus, saya faham itu tetapi saya benar-benar fikir kita harus menayangkan lebih banyak kerana ia sangat menggalakkan, ia amat mengagumkan.
“Kita merasai Olimpik di sini di Paris dan sebelum itu dunia berada dalam krisis besar mungkin tetapi untuk dua setengah minggu itu, kita melupakannya, kerana itulah yang sukan boleh lakukan dan itulah yang Paralimpik boleh lakukan dan tiada perbezaan, tiada perbezaan sama sekali.
“Kisah di sebalik atlet sentiasa istimewa, kerana rakan saya amat istimewa dan itulah yang saya suka mengenai sukan, ia boleh mengubah dunia, kadang-kadang hanya untuk seketika dan kadang-kadang untuk selamanya.
“Apa yang saya alami malam tadi adalah satu majlis pembukaan yang luar biasa. Ia seperti konsert Taylor Swift, luar biasa,” katanya.
Czyz sebelum ini menjadi juara berturut-turut Paralimpik dalam acara lompat jauh F42/F44 di Beijing 2008, selepas memenangi emas dalam acara 100m dan 200m T42 di Athens 2004.
Czyz berkata: “Jurgen adalah keluarga. Ia sangat luar biasa Jurgen mahu datang.
“Tetapi bukan sahaja untuk saya, Jurgen ada di sini untuk membuat kenyataan Paralimpik dan sukan Para adalah luar biasa.
“Kami memerlukan orang seperti Jurgen untuk memberi tumpuan kepada perkara ini. Ia adalah hari yang hebat hari ini, walaupun kekalahan yang sukar,” katanya.
Pemain Britain, Bethell yang lebih gemar bermain ragbi berbanding bola sepak, berkata: “Ia sangat hebat untuk seseorang yang berkaliber seperti itu dalam dunia sukan hadir di Paralimpik.
“Saya mendengar Klopp bersorak ‘well done’ dan mendapat isyarat ibu jari daripada beliau juga. Itu sangat istimewa, satu detik yang di luar realiti.” – BERNAMA-DPA
Gambar
Jurgen Klopp (kiri) bergambar bersama sahabatnya pemain badminton para New Zealand, Wojtek Czyz berlatarbelakangkan Menara Eiffel di Paris. – Foto Instagram kloppo