KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) meneruskan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sebagai usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terutama kalangan pengguna jalan raya di sepanjang jajaran projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Kempen terbaharu itu diadakan di sepanjang jajaran ’Laluan Merah’ di Jalan Lapangan Terbang, tempat kerja pembinaan yang telah dimulakan.
Kempen itu dianjurkan dengan kerjasama kontraktor Red Line, SJCJV — usaha sama antara Sri Datai Construction (Sarawak) Sdn Bhd, JT JV Builders Sdn Bhd dan CHEC Construction (M) Sdn Bhd.
Kempen itu juga turut disokong oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuching, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Sarawak dan pejabat Setiausaha Persekutuan, Sarawak.
Menurut Sarawak Metro, kempen itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan jalan raya semasa pembinaan projek KUTS.
Selain itu, ia memberi fokus dalam mempromosi amalan selamat di kalangan pemandu, pejalan kaki dan pekerja binaan yang terlibat dalam projek itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Metro Sarawak, Mazli Mustaffa berkata keutamaan mereka adalah memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya, terutama ketika kerja-kerja pembinaan berjalan.
“Kita semua perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan jalan raya, dan adalah penting untuk semua orang mematuhi peraturan lalu lintas, papan tanda dan arahan, terutamanya berhampiran tapak pembinaan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada SJCJV atas sokongan dan komitmennya terhadap kempen tersebut.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, pengguna jalan raya menerima beg keselamatan mengandungi jaket keselamatan dan risalah keselamatan, mengukuhkan kepentingan mematuhi garis panduan keselamatan jalan raya untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Gambar
TERIMA KASIH… Mazli Mustaffa berkesempatan memakaikan vest keselamatan kepada penunggang motosikal pada Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya.