ASUNCION: Penyerang Uruguay dari Liverpool, Darwin Nunez digantung lima perlawanan dan didenda oleh Konfederasi Amerika Selatan (CONMEBOL) selepas terbabit dalam pergaduhan besar-besaran di separuh akhir Copa America.
Empat lagi pemain turut digantung, dengan keseluruhan 11 orang dikenakan tindakan disiplin, hasil daripada siasatan terhadap insiden pada penghujung perlawanan antara Uruguay dan Colombia di Charlotte.
Nunez adalah antara pemain yang terbabit dalam insiden di tempat duduk penonton di Stadium Bank of America dan bertumbuk dengan penyokong yang bergaduh semasa kekecohan pada hujung perlawanan.
Hukuman terhadap penyerang itu adalah yang paling berat, dengan pemain lain dikenakan penggantungan empat perlawanan atau kurang serta denda.
Pemain tengah, Rodrigo Bentancur yang bermain di England untuk Tottenham, digantung empat perlawanan manakala pemain pertahanan, Mathias Olivera, Ronald Araujo dan Jose Maria Gimenez masing-masing digantung tiga perlawanan.
Nunez didenda sebanyak AS$20,000 (RM86,800), manakala pemain lain dikenakan denda antara AS$16,000 (RM69,500) sehingga paling rendah AS$5,000 (RM21,700).
Enam pemain lain hanya dikenakan denda.
Selain itu, Persekutuan Bola Sepak Uruguay didenda AS$20,000 (RM86,800) dengan jumlah berkenaan akan ditolak daripada pendapatan dan hadiah wang kemenangan.
Pemain pertahanan tengah Uruguay, Gimenez berkata, barisan pemain terbabit dalam kekecohan itu kerana bimbang akan keselamatan ahli keluarga dan orang tersayang yang menonton perlawanan itu.
Hukuman ini boleh dirayu, namun kenyataan CONMEBOL tidak menyatakan bila penggantungan itu, yang meliputi perlawanan dianjurkan oleh CONMEBOL dan bukan pertandingan domestik, akan bermula.
Uruguay dijadual bermain perlawanan persahabatan menentang Guatemala di Fort Lauderdale, Florida sebelum turun pada aksi pusingan kelayakan Piala Dunia di tempat sendiri menentang Paraguay pada 6 September dan di Venezuela pada 10 September. – AFP