HAD umur untuk penyertaan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) adalah 21 tahun ke bawah, namun terdapat acara sukan seperti gimnastik menetapkan had umur 15 tahun ke bawah.
Baru-baru ini bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail mencadangkan sudah tiba masanya tiada had umur ditetapkan untuk atlet beraksi di SUKMA bagi memberi mereka peluang bersaing secara kompetitif sekali gus melahirkan lebih ramai atlet elit untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
Namun, ramai juga warganet membantah cadangan itu kerana berpendapat SUKMA adalah untuk pembangunan atlet remaja. Sebenarnya, SUKMA adalah untuk mencungkil bakat atlet di peringkat negeri dan daerah supaya dapat dilatih untuk mewakili negara di peringkat lebih tinggi.
Bayangkan, pada SUKMA baru-baru ini tiba-tiba pelajar SMK Long Bedian di Ulu Baram, Pauline Ului,16 tahun melakar kejutan apabila berjaya menghasilkan lemparan emas buat kontinjen Sarawak. Sebelum SUKMA, dia terpaksa menjalani latihan di Miri, jauh dari kampung halaman, tapi Pauline tidak menjadikan isu itu sebagai ‘pemberat’ untuk mencipta kejayaan pada SUKMA. Pauline masih layak untuk menyertai SUKMA 2026 dan 2028.
Begitu juga Ummi Mashitah Hassan,21, dari Marudi yang membolot pingat emas dalam acara silat olahraga kategori Putri Kelas B di Stadium Bandaraya Miri baru-baru ini. Bagaimanapun, dia sudah tidak layak untuk menyertai SUKMA di Selangor pada 2026 kerana lebih umur tetapi sudah dilamar oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) bagi pemilihan ke pasukan kebangsaan, sejurus selepas menamatkan perlawanan itu.
Anak petani berasal dari Kampung Pasir Tengah, Lundu, Randy Owen Augustine Linggi, 19, juga menjadi tumpuan selepas berjaya membolot tiga pingat emas dan sebutir perak dalam acara Poomsae SUKMA 2024. Atlet pelapis taekwondo kebangsaan, ini masih layak menyertai SUKMA 2026.
Antara yang menarik perhatian juga ialah penerjun Elvis Priestley Clement, 18, yang terjunannya ibarat ‘jarum’ jatuh dalam air, dan meraih dua pingat emas dalam acara tiga meter papan anjal lelaki dan 10 meter platform seirama lelaki pada SUKMA. Elvis adalah pelapis kebangsaan sejak 2019 dan mahu mengikut jejak langkah rakannya, Bertrand Rhodict yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 dan berhasat melayakkan diri ke Olimpik LA 2028. Penerjun ini dilatih di Bukit Jalil oleh jurulatih kebangsaan Luh Jia Ning dari China dan dijangka akan menyertai Sukan SEA 2025 di Thailand. Jika layak ke Olimpik LA2028, Elvis pada ketika itu akan berumur 22 tahun.
Bakat dari luar bandar dan pedalaman inilah perlu terus dicungkil.
KE MANA SELEPAS SUKMA?
Masalahnya ialah selepas menyertai SUKMA dan ke mana arah atlet selepas itu. Bagi yang cemerlang meraih emas dan menunjukkan keupayaan untuk menggapai tahap lebih tinggi, boleh diserap dalam pasukan pelapis kebangsaan dan sesetengahnya memang sudah menjadi atlet pelapis kebangsaan seperti Wong Ling Ching yang meraih emas badminton SUKMA di Sibu, dan berpotensi untuk mewakili negara di Sukan Olimpik.
Tetapi bagaimana dengan atlet yang mendapat pingat gangsa dan ke bawah? Apakah usaha mengilap bakat mereka terhenti di situ kerana sudah tidak layak menyertai SUKMA apabila usia melebihi 21 tahun?
Ia ibarat pelajar yang gagal menyambung pelajaran ke tingkatan satu dan tingkatan empat pada zaman dulu-dulu, dan terpaksa mencari kerja sebelum kerajaan memperkenalkan seperti Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi pelajar yang lebih cenderung ke arah kemahiran ini. Terbukti kemahiran melalui TVET ini memberi masa depan lebih baik bagi mereka yang cemerlang dalam teknikal.
Mungkin kita perlu adakan temasya SUKMA Plus untuk atlet 21 tahun ke atas hingga 25 tahun, seperti juga kemasukan pelajar ke TVET, bagi menyerap atlet ‘tersisih’ tetapi masih boleh digilap hasil daripada temasya SUKMA. Ini bukan bermakna untuk atlet kelas dua (begitu juga TVET bukan untuk kelas kedua), tetapi bagi mengekalkan bakat mereka setelah tidak layak lagi untuk SUKMA dan pada masa sama, diketepikan atau ‘belum layak’ untuk skuad kebangsaan.
Sarawak sudah ada Sukan Sarawak (SUKSAR) yang secara tradisinya menyediakan platform untuk atlet muda berbakat mempamerkan kebolehan mereka. Ramai juga berjaya dicungkil dari SUKSAR dan diserap untuk SUKMA mewakili Sarawak baru-baru ini.
Di peringkat kebangsaan ada kejohanan seperti Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) yang dianggap sesetengah pihak sebagai bertindih dengan SUKMA.
Oleh itu, selamatkanlah, gilapkanlah atlet SUKMA yang berbakat. Sesetengahnya mungkin terlepas emas atau perak, kerana nasib tidak menyebelahi pada hari kejohanan. Hanya jurulatih mereka sahaja tahu keupayaan sebenar mereka.
Daripada enam atlet Sarawak yang masing-masing berjaya membolot tiga emas atau lebih, tiga daripadanya tidak lagi layak untuk SUKMA 2026 di Selangor. Maknanya, 15 atau 16 pingat emas sudah tidak boleh dipertahankan.
LEBIH HAD UMUR
Ini termasuk Ratu boling Sarawak, Nur Hazirah Ramli,21 tahun, yang meraih empat pingat emas, namun sudah tidak layak untuk SUKMA 2026. Begitu juga atlet kebangsaan mewakili tuan rumah Jonah Chang Rigan, 21, yang meraih meraih tiga emas. Ratu wushu Sarawak, Stephanie Ngu Chai Ern, 20, raih tiga emas tetapi sudah tidak layak untuk SUKMA 2026. Namun, Stephanie menyasarkan tempat di dalam skuad wushu kebangsaan sebagai platform untuk ke Sukan SEA satu hari nanti.
Bagaimanapun, ratu renang Sarawak, Kelly Teo, 18, yang membolot enam emas iaitu terbanyak, masih layak untuk SUKMA 2026. Begitu juga penerjun Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin, 17, yang mencatat hatrik pingat emasnya masih layak untuk SUKMA 2026 dan SUKMA 2028. Atlet Poomsae, Randy Owen Augustine Linggi, 19, meraih tiga emas dan masih layak untuk SUKMA 2026.
Begitu juga atlet muay thai Sarawak, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar atau Miki, 14, yang raih emas mempunyai masa depan cerah, berpeluang untuk mengikuti jejak abangnya, Muhammad Johan Ghazali atau Jojo.
Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin, 17, kini dianggap pesaing utama kepada pemegang rekod Sukan SEA 2023, Yiat Qing Lee. Qing Lee dari Kuala Lumpur, sebelum ini dilihat sebagai pengganti baru Datuk Pandelela Rinong, Datuk Leong Mun Yee dan Dhabitah Sabri selepas kemenangannya menguasai acara platform wanita di temasya Sukan SEA 2023 Kemboja.
Pada SUKMA baru-baru ini Qing Lee menang emas acara terjun 3 meter papan anjal wanita, mengatasi Dayang Nursharzyra dengan hanya 2.95 mata untuk raih pingat perak. Qing Lee kutip 231.20 mata, manakala Dayang Nursharzya 228.25.
Peningkatan positif atlet muda di SUKMA membuktikan sukan terjun tidak pernah ketandusan bakat baharu untuk mewakili negara pada masa akan datang, kata Pengarah Teknikal skuad terjun kebangsaan, Bryan Nickson Lomas.
Katanya, bintang muda seperti Dayang Nursharzyra, Nurul Farisya Alia Affendi dan Elvis Priestley bakal menyerlah pada masa akan datang. Malah, Bryan berkata, jika atlet terbabit menerima latihan secara konsisten sudah pastinya mereka akan menggegarkan arena terjun hingga mampu menempah slot ke Sukan Olimpik kelak.
Keseluruhanya atlet tuan rumah menunjukkan prestasi cemerlang. Kem tinju peroleh empat emas termasuk diperoleh petinju wanita, Hamiesha Hamdan. Acara Muay Thai raih lima pingat emas; dua emas pertama dalam sejarah bagi acara pelayaran; sukan terjun raih sembilan emas; tenpin boling bolot lima pingat emas; seni silat lima pingat emas dan taekwando 11 emas, kebanyakannya melepasi sasaran awal.
Kita berharap Sarawak dapat mempertahankan kejuaraan pada SUKMA 2026 di Selangor.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.