KUALA LUMPUR: Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang diwartakan pada hari ini disambut dalam suasana kehidupan normal baharu yang dilalui masyarakat Malaysia hari ini, jauh berbeza dengan kebiasaan dahulu.
Walaupun semua acara rasmi ditangguhkan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam menghadapi wabak Covid -19, ingatan terhadap baginda tidak pernah luntur berdasarkan sembah takzim bertali arus yang diterima daripada pemimpin-pemimpin negara dan rakyat.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili seluruh rakyat negara ini antara yang terawal merafak sembah tahniah bersempena ulang tahun keputeraan baginda dan berdoa agar Seri Paduka terus bersemayam di takhta pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.
Selain itu, beberapa wakil kedutaan asing turut menzahirkan ucapan tahniah.
Dalam keterbatasan aktiviti ketika ini, baginda dijangka mencemar duli ke beberapa lokasi bagi mendekati golongan yang memerlukan antaranya pusat gelandangan, pusat jagaan anak-anak yatim dan pusat jagaan orang-orang tua.
Baginda yang menaiki tahta Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac 2019 amat mengambil berat tentang kebajikan rakyat terutama ketika negara masih berjuang menghadapi krisis kesihatan, wabak Covid -19.
Sangat menghargai usaha dan komitmen petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak ini, baginda juga sering mengingatkan rakyat untuk bersama-sama memainkan peranan agar terus berdisiplin dan bersabar mengamalkan amalan kebiasaan baharu seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan (KMM).
Pengalaman baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjalani kuarantin selama 14 hari selepas beberapa kakitangan Istana Negara didapati positif wabak itu pastinya akan menjadi satu kenangan dan sejarah buat baginda berdua ketika menghadapi pandemik yang melanda hampir seluruh dunia ini.
Dalam menghadapi kesan Covid -19, baginda juga sentiasa mengambil berat setiap usaha yang dilaksanakan kerajaan bagi menangani impak Covid -19 terutama berkaitan kewangan dan ekonomi negara seperti pengangguran dan sektor ekonomi yang terjejas.
Sikap prihatin yang ditunjukkan baginda bukan suatu yang baharu kerana baginda cukup dikenali dengan sikap demikian terutama dalam kalangan rakyat Pahang ketika baginda bergelar Tengku Mahkota Pahang selama 44 tahun.
Sikap dan keperibadian itu dibawa baginda dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong, menyebabkan rakyat pelbagai kaum di negara ini berasa dekat dengan baginda.
Tidak hairanlah jika tindakan baginda sering mendapat perhatian rakyat terutama ketika mencemar duli turun ke akar umbi menemui atau membantu golongan memerlukan.
Adakalanya baginda mengetepikan kedudukan dan protokol hingga tular video baginda mencemar duli turun dari kenderaan rasmi untuk membantu mangsa kemalangan. Begitu juga apabila baginda beratur sendiri ketika membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di Pahang.
Tidak dapat dilupakan, baginda turun ke pintu utama Istana Negara meraikan pihak media dengan sumbangan makanan dan minuman ketika isu peralihan tampuk kerajaaan persekutuan Februari lepas.
Baginda juga berkenan bersama-sama petugas barisan hadapan negara turun memantau pergerakan trafik di ibu negara pada peringkat awal PKP dilaksanakan kerajaan Mac lepas.
Sebagai payung perpaduan, baginda amat mementingkan penyatuan dan kemakmuran rakyat berbilang kaum di negara ini dan tidak mahu rakyat disogokkan dengan api permusuhan dan perpecahan terutama disebabkan politik.
Kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah telah membantu negara keluar daripada krisis politik susulan peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Feb sebelum memperkenankan pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac lalu.
Dalam Titah Diraja semasa merasmikan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 baru -baru ini baginda bertitah supaya ahli politik mempamerkan kematangan mereka dan sentiasa menjiwai keluh resah rakyat.
Semoga imej dan perwatakan yang ditonjolkan baginda yang sentiasa mendahulukan rakyat menjadi ikutan pemimpin-pemimpin negara dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, berdaulat dan disegani dunia. Daulat Tuanku! — Bernama