KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini bersambung semula pagi ini selepas ditangguhkan pada 7.30 petang semalam, ekoran hujan lebat.
Tinjauan Bernama di lokasi pada 8 pagi mendapati pasukan SAR terdiri daripada polis, bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam sudah berada di lokasi kejadian.
Operasi SAR yang masuk hari keenam hari ini difahamkan akan bermula dengan perbincangan antara lain berkaitan teknik, kaedah dan penugasan selain kerja survei oleh Jabatan Mineral dan Geosains melibatkan lokasi dari pintu gerbang Masjid India ke hadapan kawasan masjid.
Tinjauan juga mendapati kawasan sekitar lokasi lengang kerana pihak berkuasa melarang orang ramai berada berhampiran lokasi operasi SAR.
Pada Jumaat lepas, seorang wanita warga India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi SAR diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk penggunaan anjing pengesan.
Sementara itu, tinjauan di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam di sini mendapati pasukan SAR tiba pada 9.05 pagi dan mula menyusun peralatan yang akan digunakan hari ini.
Antara peralatan itu alat bantuan pernafasan yang dipercayai untuk kegunaan anggota yang akan turun ke tangki kumbahan sedalam 15 meter di loji berkenaan.
Bagaimanapun difahamkan, tindakan itu juga bergantung kepada situasi semasa operasi di Jalan Masjid India.
Sejak hari kejadian, pasukan SAR turun ke tangki berkenaan sebanyak dua kali iaitu pada Ahad dan Isnin namun tidak menemukan sebarang petunjuk keberadaan mangsa.
Pasukan SAR di sini juga telah melakukan teknik carian di permukaan ‘surface searching’ semalam yang berlangsung kira-kira sejam sebelum operasi SAR hari kelima ditangguhkan. – Bernama