SUKAN Malaysia (SUKMA) kini bagaikan diberi nafas baharu dalam sejarah kemunculannya sejak 1986, apabila dihoskan di Bumi Kenyalang, kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah selepas 1990 (ketika itu juara) dan 2016 (naib juara). Sarawak juga juara pada edisi SUKMA 1992 di Johor dan 1994 di Perak tetapi sejak itu atau 30 lalu, tiada lagi kejuaraan diraih, namun ia pernah muncul naib juara pada 1988, 1996, 1998, 2000, 2004 dan 2016.
Pada SUKMA 2022 di Kuala Lumpur, kontinjen Bumi Kenyalang menduduki tempat keempat. Namun, impian untuk mengakhiri kemarau kejuaraan 30 tahun lalu itu, pada SUKMA 2024 ini semakin menghampiri yang diharapkan menjadi kenyataan.
Hakikatnya, SUKMA XXI kali ini menampilkan kelainan sama ada di padang atau luar padang.
Pertama, kemeriahan upacara pembukaan gilang-gemilang SUKMA 2024 di Stadium Sarawak pada Sabtu lalu, 17 Ogos yang bukan sahaja memukau kira-kira 40,000 hadirin di stadium malah seluruh negara menerusi siaran langsung di televisyen dengan pertunjukkan dron bercahaya diselitkan pancaran laser pelbagai warna.
Kemeriahan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk tarian etnik itu menyebabkan ada warganet mendakwa boleh mengalahkan upacara pembukaan rasmi Sukan Olimpik di Paris baru-baru ini yang dikatakan ‘agak kalut’, mungkin disebabkan kali pertama bukan diadakan di stadium. Sebaliknya, diadakan perarakan terapung di sepanjang Sungai Seine dan berakhir di Menara Eiffel yang ikonik.
Kedua, adalah persiapan rapi. Mungkin ramai di luar Sarawak tidak mengetahui persiapan rapi dilakukan bukan sahaja untuk upacara perasmian, malah di sembilan bahagian yang menjadi hos acara diadakan iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri. Bayangkan ‘dry run’ atau latihan diadakan sekurang-kurangnya dua atau tiga kali di lokasi acara termasuk pengurusan, keselamatan, urusetia, sukarelawan, kumpulan medik, selain memastikan semua kelengkapan untuk acara sukan ‘tiada cacat cela’.
PERKAMPUNGAN SUKAN
Malah sebanyak 33 perkampungan sukan dan penginapan yang disediakan merangkumi lokasi di universiti, institut pengajian tinggi serta hotel di sembilan bahagian di negeri ini, dipastikan tiada ‘kekurangan atau cacat cela’. Sebahagian besar pegawai teknikal dan atlet berkampung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dari 14 hingga 26 Ogos ini. Pihak berkuasa berkaitan bekalan elektrik dan air dipastikan sentiasa bersiapsiaga agar bekalan tidak terputus sepanjang SUKMA berlangsung. Syukur setakat semalam, tiada perkara yang tidak diingini dilaporkan berlaku.
Sekretriat SUKMA yang menempatkan TV Sarawak (TVS) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dikatakan dilengkapi teknologi paling canggih di bawah paras Sukan Olimpik di Pusat Media SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Akuatik Pandalela Rinong di Petra Jaya. Ia turut menyediakan pelan sandaran jika berlaku gangguan elektrik yang boleh menjejaskan siaran langsung sepanjang temasya SUKMA ini.
“Penganjuran SUKMA 2024 yang berjalan begitu lancar setakat ini termasuk kejayaan upacara pembukaan temasya itu di Stadium Sarawak, membuktikan Sarawak mampu menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa lebih besar seperti Sukan SEA,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Ahad lalu.
Kedua, sokongan padu rakyat terhadap atlet tuan rumah hingga ribuan hadir menyaksikan acara tinju di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman; acara Muay Thai di Naim Street Mall Paragon, Bintulu; acara pencak silat di Stadium Bandaraya Miri; acara badminton di Stadium Tertutup Sibu; bola sepak di Stadium Mukah dan Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah; Dewan Wushu SSC, Petra Jaya; acara akuatik di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petrajaya; olahraga di Stadium Sarawak; boling di Megalanes, Emart Batu Kawa dan di beberapa lokasi lagi.
Ada yang menyamakan Stadium Tertutup Kota Samarahan untuk futsal: acara tinju di Stadium Tertutup Sri Amam dan Muay Thai di Bintulu mirip seperti keriuhan penonton di Stadium Istora Senayan di Jakarta apabila Indonesia berdepan Malaysia dalam pertandingan badminton – sokongan padu yang tidak berbelah bahagi penyokong tuan rumah.
Ketiga, sokongan kuat penyokong tempatan juga memberi inspirasi kepada atlet Sarawak untuk meraih emas, meskipun bagi sesetengah acara sukan yang sebelum ini tiada ‘harapan untuk kaut emas’. Contohnya, pasukan
Muay Thai Sarawak membolot lima emas, melebihi sasaran awal dua emas.
Begitu juga kem Taekwando apabila tuan rumah akhiri perjuangan selaku juara keseluruhan dengan 11 emas, berbanding sasaran asal cuma tujuh emas. Sarawak mendominasi acara tenpin boling wanita, manakala pasukan petanque Sarawak juga melepasi sasaran tiga emas apabila meraih satu lagi pingat emas bagi acara itu di Arena Petanque Sarawak di Santubong.
INSENTIF RM15,000
Keempat, insentif. Jumaat lalu, 16 Ogos Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan insentif sebanyak RM15,000 untuk atlet Sarawak yang berjaya merangkul pingat emas dalam SUKMA dan Para SUKMA 2024, iaitu tertinggi pernah ditawarkan oleh mana-mana kerajaan negeri. Untuk pemenang pingat perak dan gangsa pula masing-masing akan membawa RM5,000 dan RM3,000.
“Kita harapkan mereka akan mendapatkan sebanyak mungkin pingat yang boleh. Ini adalah tanda sokongan kita terhadap mereka selain boleh menjadi motivasi untuk atlet kita,” kata Abang Johari pada sidang media selepas menghadiri acara Taekwando SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan, di Petra Jaya.
Kelima, prasarana. Sarawak dilaporkan membelanjakan lebih RM100 juta untuk naik taraf tempat dan gelanggang kejohanan bagi penganjuran 37 acara. Kesemua tempat di sembilan bahagian yang terlibat dinaik taraf. Misalnya, trek di Stadium Sarawak dipasang baru. Malah ada pembinaan baru seperti untuk Wushu, Ragbi dan Kriket. Malah Sarawak mencipta sejarah sebagai lokasi pertama memiliki teknologi ‘Kegel Specto dan Torch Digital’ di kesemua 42 lorong di Pusat Penyelidikan dan Latihan (SRTC) untuk Tenpin Boling Sarawak, terletak di Megalanes Emart Batu Kawa, lokasi penganjuran acara Boling SUKMA.
Teknologi itu memperkasakan jurulatih dengan analisis data yang komprehensif pada setiap balingan yang dilakukan oleh pemain. Teknologi ini akan menyimpan data setiap balingan yang dilakukan oleh pemain termasuk kadar rev, sudut balingan, kelajuan bola, bentuk trajektori dan metrik ketepatan. Naik taraf di Megalanes itu menelan kos lebih RM3 juta.
Keenam, atlet. Kini nama seperti Nur Hazirah Ramli (tenpin boling), Randy Owen Augustine Linggi (Poomsae) dan Stephanie Ngu Chai Ern (wushu) yang masing-masing meraih tiga emas, bermain dibibir peminat tempatan. Nur Hazirah turut meraih pingat gangsa secara berpasukan wanita. Begiti juga dengan atlet kebangsaan Jonah Chang Rigan yang merangkul pingat emas peribadi keduanya selepas mendominasi acara lempar cakera lelaki di Stadium Sarawak semalam.
Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, yang dikenali sebagai ‘Miki’ meraih emas buat Sarawak dalam kategori lelaki (51-54kg) Muay Thai. Kem akuatik tuan rumah juga cemerlang melalui Elvis Priestley Clement dengan emas dalam acara terjun 3m papan anjal lelaki selain meraih emas berpasangan dengan Enrique Maccartney Harold. Pasangan adik beradik, Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin dan Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin meraih emas acara terjun tiga meter papan anjal seirama campuran. Puong Wei Hei menjuarai acara 200 meter (m) kuak lentang lelaki, sekali gus memecahkan rekod kejohanan.
Sebenarnya ramai lagi anak muda yang bertarung dalam SUKMA kali ini menyerlahkan bakat. Merekalah bakal mewakili negara ke kejohanan antarabangsa termasuk olimpik dan Sukan SEA pada masa akan datang. Di SUKMA lah lahirnya bakat baharu bagi sukan negara.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.