PILIHAN raya kecil (PRK) Nenggiri merupakan suatu ujian besar yang perlu dilalui oleh UMNO, apabila Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas calon penyandang dari parti Bersatu mengumumkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan. Dari satu segi, dilihat bahawa PAS Kelantan berasa yakin untuk menang besar berdasarkan ukuran prestasi PAS dan Perikatan Nasional dalam pilihan raya negeri Kelantan sebelum ini.
UMNO pula berada dalam kedudukan under dog atau yang dijangka berpotensi kalah dan kurang memberikan saingan besar kepada PAS yang seolah-olah percaya isu berkaitan etnik dan agama yang sering mereka gunakan akan dengan mudah dapat menewaskan UMNO. Yang menariknya, dibuat sedemikian rupa apabila Tiimbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Rizwadi Ismail diminta keluar untuk menyertai Bersatu untuk dijadikan calon di Nenggiri.
Langkah tersebut dianggap oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai seorang kakak membantu adik. Dari satu segi, terserlah seolah-olah parti Bersatu ketandusan calon dan lebih banyak bergantung kepada sokongan dan dukungan PAS semata-mata. Calon BN ialah Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih mesra dikenali sebagai Awie kalangan penduduk setempat. Beliau juga ialah Ketua Pemuda UMNO Gua Musang.
Keputusan PRK
BN telah menang dan mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail apabila Awie memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang tersebut hanya memperoleh, 5,739. Ini bermakna BN telah menang empat kali ganda majoriti pada PRK kali ini.
Iltizam kepimpinan tertinggi UMNO
Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan komitmen yang tinggi kepada kemenangan ini. Daripada aspek strategi, beliau mengarahkan semua ahli majlis tertinggi berkampung di Nenggiri. Setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) akan ada ahli MKT UMNO yang menjadi pemantau agar gerak gerak lebih berkesan. Pada masa sama juga pendekatan yang digunakan ialah berkempen secara berkelompok dan dari rumah ke rumah untuk meraih undi. Sepanjang PRK Nenggiri berlangsung sebanyak tujuh kali Presiden UMNO turun ke kawasan berkempen untuk menggempur kawasan PDM yag hitam.
Ketika penulis berada di lapangan, terdapat dua penemuan kajian dihasilkan. Ketika penamaan calon, BN ketinggalan 14 peratus berbanding PN. Namun seminggu sebelum mengundi, BN ketinggalan sekitar enam peratus. Berdasarkan dua kajian ini bermakna perlu lonjakan kempen dipertingkatkan di setiap PDM dalam tempoh empat hingga lima hari sebelum hari mengundi.
Setiap langkah tersebut dipantau terus oleh Presiden bagi memastikan UMNO bergerak segulai sejalai atau seiring sejalan. Tahap kesepaduan kerjasama semua peringkat inilah yang memberikan kemenangan besar kepada BN dalam PRK di negeri yang didominasi oleh PAS.
Cakna
Kepimpinan PMX yang cakna kepada isu rakyat dan melaksanakan tanpa retorik politik mampu menarik pengundi Nenggiri untuk menyokong Kerajaan Perpaduan. Lebih-lebih lagi Zahid Hamidi sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dilihat sebagai wira pembangunan luar bandar dengan pelbagai reformasi luar bandar dan wilayah termasuk TVET, pra tahfiz Kemas, keusahawanan desa semakin terserlah di bawah kepimpinannya. Orang Asli misalnya bertambah yakin dengan kemampuan BN membantu masalah mereka.
Strategik tetapi sederhana
BN telah berjaya menyusun strategi secara lebih efisien dan menangani kebimbangan pengundi pada tahap yang lebih lokal. Selain itu, terdapat rasa keletihan dalam kalangan pengundi terhadap kepimpinan atau dasar-dasar PAS, yang menyebabkan peralihan sokongan. Kepimpinan PAS Kelantan dilihat kurang menyerlahkan pencapaian atau prestasi kepada pengundi. Sebaliknya lebih dilihat berbangga dengan pencapaian kemenangan politik semata-mata.
Keupayaan UMNO untuk memanfaatkan sentimen ini dan menawarkan alternatif yang berdaya maju mungkin memainkan peranan utama dalam mencapai kemenangan. Misalnya apabila isu ketiadaan mesin ATM di Jerek Baru yang menyebabkan lebih 30,000 penduduk terpaksa meredah perjalanan sejauh 50 kilometer (km) untuk mengeluarkan wang dapat ditangani tanpa perlu membuat janji politik dalam PRK ini. Sebaliknya terus dilaksanakan dan ini semuanya terhasil daripada hubungan baik dengan Kerajaan Perpaduan.
Maka, mesej ini jelas dan sampai kepada pengundi mengenai kemampuan dan keberkesanan BN dan Kerajaan Perpaduan. Inisiatif sebegini boleh dilihat betapa serius usaha kerajaan untuk menangani keperluan tempatan, yang menyumbang kepada persepsi positif dalam kalangan pengundi.
Isu retorik dan sensitif
Isu 3R dan Kempen PN: Isu-isu yang berkaitan dengan kaum, agama, dan raja (3R), termasuk kontroversi seperti komik Superman Hew dan tuduhan pengaruh DAP ke atas UMNO, tidak berkesan dalam menggugah pangkalan pengundi tertentu. Isu-isu ini tidak cukup untuk mempengaruhi sebahagian besar pengundi kali ini, terutamanya jika pengundi lebih prihatin dengan isu-isu praktikal seperti tadbir urus, pembangunan atau kepimpinan tempatan. Keberkesanan isu 3R juga semakin berkurangan apabila pengundi mencari perbincangan yang lebih berpandukan dasar, fakta dan pilihan lebih rasional.
Kempen melampau
Kempen dilakukan oleh PN dilihat agak melampaut terutama pengarah pilihan raya ialah bekas pemimpin UMNO yang dipecat, iaitu Tan Sri Annuar Musa. Sepanjang kempen dijalankan, didapati kelihatan kecaman melampau terhadap parti UMNO dan kepimpinan UMNO dan seolah-olah ia dendam politik bukan kempen politik yang sihat. Begitu juga kempen Isham Jalil yang keras terhadap kepimpinan UMNO sedangkan banyak jasa UMNO kepada mereka sebelum ini tidak dihargai langsung dan ini menyebabkan pengundi kurang selesa dengan sentimen ini.
Malah bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini Pengerusi PN dan Presiden Bersatu mendapat perhatian Istana Pahang kerana kenyataan Muhyiddin bersifat sinis dan dianggap memanipulasi fakta yang seolah-olah membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Yang di-Pertuan Agong Ke-16 iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri.
Menurut laporan polis dibuat oleh Istana Pahang bahawa ‘kenyataan yang Muhyiddin keluarkan ini adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan kepada institusi Raja-Raja Melayu serta memecah-belahkan rakyat. Ia juga bersifat fitnah dan menghasut serta jelas menyentuh isu 3.”.
Ternyata sikap pembangkang yang gagal memberikan naratif secara fakta dan data, sebaliknya terus bermain retorik, sentimen agama dan etnik mulai ditolak oleh penyokongnya sendiri di PRK nenggiri ini.
Kos sara hidup dan rasionalisasi subsidi
Walaupun isu kos sara hidup, seperti kenaikan harga diesel, biasanya signifikan dalam pilihan raya, kurang memberi impak yang diinginkan dalam pilihan raya kecil ini. Hal ini disebabkan oleh pelbagai faktor, seperti usaha bantuan bersasar atau pengundi yang mengutamakan lebih bimbang seperti prestasi kerajaan negeri Pas kurang berprestasi tinggi walaupun sudah lama diberikan peluang di Kelantan. Berkaitan rasionalisasi subsidi RON95, mulai difahami pengundi dan rakyat dan kerajaan akan terus memastikan sebarang perubahan akan dilakukan dengan berhati-hati. Diimbal dengan penyelesaian melalui kenaikan gaji rakyat.
Impak BN
Kemenangan UMNO mengukuhkan kedudukan dan naratif kebijaksanaan kepimpinan Zahid Hamidi dari segi jangka panjang bahawa kerjasama dengan PH bermanfaat untuk parti dan negara. Hasil ini boleh digunakan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang untuk kesinambungan penerusan pakatan dalam pilihan raya umum yang akan datang. Kemenangan ini memberikan bukti konkrit bahawa kerjasama dengan PH boleh menghasilkan keputusan, yang boleh membantu mengukuhkan ketegasan kepimpinan dan strategi beliau dalam parti lebih-lebih lagi musuh dalam selimut parti hampir berjaya disingkirkan. Maka kemenangan ini menjadi pelonjak atau pencetus kepada kebangkitan UMNO untuk berdepan dengan PRK DUN Mahkota, berdepan dengan PRN Sabah dan Johor akan datang dengan lebih yakin apabila sokongan anak muda semakin jelas dan keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN bertambah pulih.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).