SUKAN Malaysia (SUKMA) hanya bermula pada 1986 tetapi ia sudah melahirkan ramai atlet bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Tidak mustahil jika SUKMA diadakan lebih awal daripada itu, mungkin Malaysia mencipta ramai lagi atlet berprestij tinggi.
Memang itulah matlamat utama SUKMA yang bukan hanya bertujuan untuk menyediakan satu platform kepada atlet muda mempamerkan bakat dan kebolehan mereka, sebaliknya menghasilkan jaguh di peringkat antarabangsa.
Antara atlet kelahiran SUKMA adalah lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang dianggap pemain badminton terhebat sepanjang zaman, merangkul pingat perak temasya Sukan Olimpik 2008, 2012 dan 2016; bekas pemain No.1 skuasy dunia selama 109 bulan (2006-2015), Dato Nicol David; bekas ratu boling tenpin negara, Datuk Shalin Zulkifli; pelari pecut legenda negara Watson Nyambek dan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong.
Malah sebahagian besar atlet yang beraksi dalam Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini ‘dicipta’ bermula pada platform SUKMA termasuk tiga pemenang gangsa acara badminton Lee Zii Jia dan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Yang lain termasuk jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang; jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan yang hampir menang gangsa; penerjun Nur Dhabitah Sabri; pelumba basikal trek, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri; atlet terjun negara, Bertrand Rhodict Lises; pemain perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei; pelumba berbasikal trek, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri; pemanah wanita, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh.
Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi; perenang muda negara, Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin; pelumba jalan raya Nur Aisyah Mohamad Zubir; pemain golf profesional negara, Ashley Lau dari Bintulu; pelayar elit Khairulnizam Mohd Afendy; atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif dan penembak, Johnathan Wong. Semua mereka itu adalah pelapis kelahiran SUKMA.
KEMUNCULAN ANAK SARAWAK
Sarawak sendiri memang banyak melahirkan atlet kebangsaan dan antarabangsa, juga lahir menerusi SUKMA. Misalnya dalam arena sukan akuatik iaitu terjun dan renang. Sebelum Pandelela, Sarawak pernah melahirkan jaguh renang iaitu Tania Bugo, memenangi 13 pingat emas daripada jumlah 19 pingat emas ketika Sarawak menjadi tuan rumah Sukma III pada 1990, sekali gus membantu Sarawak muncul juara keseluruhannya selain mewakili Malaysia ke kejohanan peringkat umur pada usianya lapan tahun.
Nama Pandelela memang tidak asing lagi, dan mula mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak pada 2012 apabila mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik (gangsa) menerusi acara 10m platform individu di London. Pandelela juga atlet Malaysia kedua memenangi pingat Olimpik 2012 itu selepas Datuk Lee Chong Wei dalam acara badminton.
Watson Nyambek juga merupakan antara nama besar dalam sejarah SUKMA yang mula mencipta nama di pentas SUKMA pada 1996 di Kuantan. Raja Pecut negara ini yang dikenali dengan julukan ‘The Flying Dayak’ pernah menyertai dua Sukan Olimpik iaitu di Atlanta pada 1996 dan Sydney pada tahun 2000.
Jaguh baling tukul besi dari Sarikei, Grace Wong Xiu Mei mula menarik perhatian apabila menjadi atlet termuda iaitu pada usia 12 tahun, terpilih mewakili Sarawak dalam acara lontar peluru pada SUKMA 2012 di Pahang.
Mendapat julukan ‘Amazing Grace’, anak sepupu kepada legenda Wong Tee Kui itu merangkul emas pada SUKMA 2014 Perlis dengan rekod baharu balingan sejauh 55.82 meter sekali gus melayakkannya bertanding di Sukan SEA Singapura pada 2015 dan memperoleh emas.
Ketika itu Grace baharu berusia 14 tahun. Grace Wong mempertahankan emas miliknya dalam Sukan Sea 2023. Bapa saudaranya, Wong Tee Kui, adalah atlet legenda yang pernah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 1991, 1993, 1995, 1999 dan 2001.
Terkini kita ada Kilat Boy atau nama sebenar Daeoloniel Mcdelon, jaguh baharu tinju. Atlet kelahiran Sri Aman ini pernah menyumbang pingat emas kepada kontinjen Sarawak menerusi acara Feather 54-57kg di Sukma 2022. Legenda tinju negara, Mejar Sapok Biki, adalah pembimbing Kilat Boy. Sapok, anak kelahiran Simunjan adalah pemenang pingat emas Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
SUKMA edisi 2016 di Sarawak menjadi permulaan yang gemilang buat kerjaya ‘Queen Poomsae’, Nurul Hidayah Abdul Karim, meraih emas. Anak kelahiran Bintulu ini memenangi beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sepanjang kerjayanya.
TERPAHAT DALAM SEJARAH
Seorang lagi atlet ‘kelahiran SUKMA’ ialah Bertrand Rhodict Lises yang menang emas pada SUKMA 2022. Bertrand menjadi penerjun tunggal negara yang layak secara merit ke Olimpik Paris 2024 dalam acara 10 meter (m) platform individu.
Penerjun berusia 19 tahun itu terkandas di pusingan awal acara 10 meter (m) platform individu lelaki di tempat ke-25 dalam kalangan 26 peserta dengan 313.70 mata keseluruhan. Bertrand menyifatkan penampilan sulung di pentas Olimpik sebagai pembuka mata dan pengalaman berguna untuk masa depannya.
Seorang lagi atlet lagenda Sarawak kelahiran SUKMA pada 2002 ialah Azlan Iskandar (skuasy) pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 dan pernah sampai di ranking dunia No. 14.
Sebenarnya ramai lagi anak Sarawak menyerlah melalui SUKMA seperti Erika Kong, Angela Chieng (renang), Assri Merzuki, Aslina Chua (tenis), Jonathan Nyepa (100 meter) dan Ashri Chuchu (bola sepak). Mungkin ada lagi nama yang terlepas pandang tetapi nama mereka tetap terpahat dalam sejarah sukan Sarawak.
Turut mengharumkan nama Malaysia dan Sarawak ialah Bryan Nickson Lomas, kelahiran SUKMA yang kini pengarah teknikal skuad terjun negara. Dia memegang rekod sebagai atlet termuda negara layak secara merit ke temasya sukan Olimpik Athens, Greece 2004 pada usia 14 tahun dalam acara 10 meter (m). “Adalah satu kerugian jika pencarian bakat baru tidak berlaku di SUKMA,” katanya baru-baru ini.
Diharapkan SUKMA XXI di Sarawak kali ini terus mencungkil atlet muda bakat baharu sebagai pelapis untuk negara dan negeri masing-masing.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.