SATU berita yang menarik perhatian saya yang dipapar di dada surat khabar pada Jun lepas adalah kenyataan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengenai kekayaan bumi Sarawak. Beliau mendapat maklumat dari Jabatan Geologi bahawa nilai mineral tersebut melebihi RM1.25 trilion. Katanya, antara hasil mineral yang dikenalpasti adalah emas, unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dan pasir silika berkualiti tinggi serta bauksit.
Kenyataan beliau ini menunjukkan bahawa Sarawak bukan sahaja kaya dengan minyak dan gas malah juga pelbagai jenis hasil bumi yang akan memakmurkan Sarawak serta penduduk. Sejarah telah membuktikan bahawa Sarawak mempunyai potensi bekalan hasil lombong yang bernilai. Sebelum kedatangan James Brooke, Sarawak telah mempunyai antimoni dan kemudian emas. Seterusnya arang batu di Sadong dan diikuti dengan minyak. Merkuri juga antara hasil bumi yang dikenal pasti di dalam sejarah perlombongan Sarawak.
PENEMUAN
Salah satu lagi hasil bumi yang pernah mewarnai ekonomi Sarawak adalah bauksit. Hasil bumi ini dijumpai selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua. Penemuan ini hasil usaha kumpulan geologi dari United Kingdom yang melakukan usaha cari gali di Sarawak.
Kumpulan geologi ini menjumpai galian bauksit di barat Sarawak iaitu di Samatan pada 1949. Penemuan bauksit ini dianggarkan membawa keuntungan kepada Sarawak. Usaha mencari gali bahan mineral ini bermula pada 1950.
Untuk tujuan tersebut kerajaan British di Sarawak menganugerahkan lesen perlombongan bausit kepada The British Alumimum Company Limited.
Menurut kajian awal ini juga beberapa kawasan dikenal pasti mempunyai simpanan bauksit yang boleh dilombong seperti Mungu Belian, Bukit Gebong dan Tanjung Serabang. Kajian ini mendapati beberapa kawasan lain juga mempunyai kemungkinan untuk menjadi kawasan perlombongan bauksit.
Kawasan-kawasan ini adalah Gunong Tamin Tungku, Ulu Blungei Kechil, Gunong Angus, Kranji, Ulu Sungai Limohdan Pelandok serta Titir Akar. Kajian ini menganggarkan kawasan Samatan dapat mengeluarkan sebanyak kira-kira 5,500,000 tan bijih bauksit. Syarikat ini juga meneruskan usaha mencari galian tersebut di Bahagian Kedua dan Ketiga, Sarawak.
SYARIKAT TEMPATAN
The British Aluminium Company Limited yang berharap akan mengeluarkan sebanyak 20,000,000 tan atau lebih tidak berhasil menjumpai jumlah tersebut dari 1950 sehingga 1952. Pertengahan1955 pula muncul syarikat tempatan yang menjalankan usaha cari gali bahan galian tersebut. Syarikat ini dinamakan sebagai Sematan Bauxite Limited. Syarikat ini diberi pajakan selama 24 tahun. Syarikat ini diberi konsesi di Munggu Belian dan Bukit Gebong.
Syarikat ini mempunyai jurutera berpengalaman yang pernah terlibat dengan perlombongan di Johor dan Terengganu. Syarikat ini memulakan operasinya pada 1956. Syarikat ini kemudiannya mendapat lesen melombong di Tanjong Serabang sehingga Ogos 1961. Sehingga 1957 kawasan perlombongan bauksit hanyalah sekitar 480 ekar.
Pengeluaran pertama hasil bauksit hanya dieksport pada awal 1958. Eksport pertamanya sekitar 180,000 tan. Pengimport utama bauksit Sarawak ini datang dari Jepun. Kapal Jepun bernama Kenkon Maru merupakan kapal pengangkut pertama yang membawa bauksit ke Jepun. Kapal tersebut membawa bauksit sebanyak kira-kira 8,500 tan. Selain Jepun sebuah negara lagi yang menjadi pengeksport utama bauksit Sarawak adalah Taiwan.
KUALITI
Bauksit yang dijumpai di Munggu Belian mempunyai kualiti yang amat baik dengan mengandungi kira-kira 56 peratus aluminium oksida dalam bentuk gibsit, manakala kualiti bausit di Bukit Gedong pula agak rendah berbanding dengan di Munggu Belian. Gred bauksit di Bukit Gedong ini mempunyai persamaan dengan bauksit bauksit Jamaica dan sesuai dieksport ke negara-negara Asia Timur. Walaupun gred bauksit di Bukit Gedong rendah, ia mempunyai simpanan bauksit terbanyak berbanding dengan Minggu Belian.
Sematan Bauxite Limited juga melakukan eksplorasi mencari simpanan bauksit di Tanjung Serabang. Namun demikian kualiti bauksit yang dijumpai itu pada tahap rendah dan tidak begitu berbaloi untuk diusahakan pada peringkat awal. Pihak kerajaan juga membuat satu perancangan untuk memudahkan usaha mengangkut bauksit ke pekan-pekan berdekatan. Usaha awal ini dilakukan dengan membina jalan raya dari Lundu ke kawasan lombong tersebut pada 1962.
EKSPORT
Dari segi nilai eksport pula, bauksit menunjukkan peningkatan dalam menyumbang kepada ekonomi Sarawak. Pada 1959, nilai eksportnya adalah $3,842,537 dan bertambah pada 1960 kepada $4,995,202. Nilai eksport bauksit terus meningkat kepada $5,545,854 pada 1961. Apa yang menariknya tentang industri perlombongan bauksit ini adalah galian ini mula menunjukkan peningkatan setiap tahun pengeluarannya. Ia juga mengatasi banyak nilai eksport Sarawak yang lain termasuk minyak.
Pada 1959 nilai pengeluaran bauksit buat kali pertama mengatasi pengeluaran minyak sebagai bahan eksport utama. Nilai eksport bauksit yang bernilai $3,842,537 pada 1959 lebih tinggi daripada nilai eksport minyak yang bernilai $2,882,000 bagi tahun sama. Nilai eksport bauksit masih mengunguli eksport Sarawak pada 1960 dengan pengeksportan sebanyak 256,016 tan bernilai sekitar $5 juta. Nilai ini masih mengatasi nilai eksport minyak Sarawak.
Atas keupayaan penghasilan bauksit yang mengalakkan ini pada 1961 kerajaan British di Sarawak telah merancang survei untuk mengenal pasti kawasan simpanan bauksit di barat Sarawak. Menurut Pengarah Survei Geologi, Dr. F. H. Fitch usaha dibuat dengan menjemput pakar dari London untuk menjalankan rancangan ini. Alat mengesan magnetometer telah diguna untuk mengesan keberadaan bauksit dan ketebalannya.
Penemuan bauksit di Sarawak pada era penjajahan British ini menampakkan satu sinar baharu dalam aktiviti perlombongan Sarawak. Malah, ia menunjukkan bahawa Sarawak amat kaya dengan bahan galian yang mampu meningkatkan ekonomi Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).